Akta tangani buli, gangguan dan penghinaan
- nabalunews
- Aug 12, 2025
- 1 min read

12 Ogos 2025
KUALA LUMPUR: Kerajaan memperkenalkan peruntukan baharu dalam Kanun Keseksaan menerusi Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 (Akta A1750) bagi menangani kes buli, gangguan, penghinaan dan penyalahgunaan maklumat identiti, termasuk yang dilakukan secara dalam talian.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pindaan itu mendapat Perkenan Diraja pada 25 Februari 2025 dan diwartakan pada 7 Mac lepas.
Katanya, pindaan berkenaan memasukkan seksyen baharu 507B hingga 507G yang antara lain bertujuan menangani secara khusus isu buli yang dilakukan dalam apa-apa cara atau kaedah, termasuk dalam talian.
“Pindaan ini memperuntukkan kesalahan berkaitan gangguan, ancaman, perbuatan membuli, penghinaan serta penyalahgunaan maklumat identiti, termasuk situasi yang mendorong kepada cubaan membunuh diri.
“Jika orang yang diprovokasi cuba untuk membunuh diri atau membunuh diri akibat provokasi itu, hukuman bagi kesalahan itu ialah pemenjaraan bagi suatu tempoh yang boleh dilanjutkan hingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Azalina menegaskan setiap rakyat bertanggungjawab untuk meneliti dan mematuhi undang-undang yang sudah berkuat kuasa itu.
Ujarnya, jika terdapat kekeliruan atau keperluan mendapatkan penjelasan lanjut, orang ramai dialu-alukan menghubungi Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) atau Jabatan Bantuan Guaman yang sedia memberikan khidmat penerangan secara percuma.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru setiap kementerian, agensi, pertubuhan dan institusi untuk sentiasa mengemas kini pengetahuan warga kerja masing-masing mengenai perkembangan undang-undang terkini serta memastikan dasar dan prosedur dalaman selaras dengan peruntukan itu.
“Perlu diingat, kejahilan berkenaan undang-undang bukan satu alasan di sisi undang-undang. Kefahaman yang jelas terhadap hak dan tanggungjawab di bawah undang-undang adalah langkah pertama bagi membina masyarakat yang lebih selamat, beretika dan berperikemanusiaan,” katanya.















Comments