ANGKASA mahu kerajaan beri tumpuan lebih kepada koperasi dalam Belanjawan 2024
top of page
  • Wartawan Nabalu News

ANGKASA mahu kerajaan beri tumpuan lebih kepada koperasi dalam Belanjawan 2024


15 Julai 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) meminta agar kerajaan menganggap pergerakan koperasi di negara ini sebagai wadah untuk memperkasakan ekonomi rakyat dan sekaligus memberi peruntukan yang lebih besar dalam Belanjawan 2024.


Menurut Presidennya, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah, misi angkatan itu untuk memperkasakan koperasi dan ekonomi rakyat tetap sama seperti dahulu.


"ANGKASA telah melakukan pelbagai usaha dan memberi tumpuan kepada perkembangan pergerakan koperasi agar suatu hari nanti dapat menyelesaikan masalah sosioekonomi rakyat," katanya semasa media Pelancar selepas Majlis Libat Urus Belanjawan 2024 yang berlangsung di pejabat Kementerian Kewangan, Putrajaya, semalam.


Beliau menambahkan bahawa langkah tersebut sejajar dengan agenda kerajaan MADANI pada masa kini yang sentiasa mencari jalan untuk mengurangkan beban rakyat terhadap kenaikan kos sara hidup yang semakin meningkat.


"Oleh itu, kami menggesa kerajaan mempertimbangkan dan memberi peluang kepada ANGKASA dan pergerakan koperasi untuk turut serta dalam usaha ini dengan peruntukan yang lebih besar berbanding sebelum ini," katanya.


Dalam ucaptama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa kerajaan telah menghabiskan RM188 bilion sehingga Jun lalu daripada jumlah dana keseluruhan RM386.14 bilion yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2023. Jumlah tersebut merangkumi 49 peratus daripada nilai keseluruhan.


Beliau juga mengumumkan beberapa langkah penting dan segera sebagai usaha awal untuk merealisasikan Naratif Ekonomi Madani sebelum dibentangkan Belanjawan Madani Dua 2024.


"Ini merupakan langkah khusus dalam mempercepatkan pelaksanaan projek khas bagi rakyat, walaupun kerajaan telah menghabiskan sebanyak RM188 bilion atau setara dengan 49 peratus peruntukan Belanjawan 2023, iaitu lebih tinggi berbanding perbelanjaan sebenar tempoh yang sama pada tahun 2022 sebanyak RM170 bilion.


"Sebahagian program telah dilaksanakan sebelum ini, iaitu memberikan tumpuan kuasa, peruntukan tambahan, dan kelonggaran prosedur perolehan yang dapat mempercepatkan pelaksanaan projek," katanya.


Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan, Timbalan Menteri II, Tuan Steven Sim Chee Keong, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican dan Pengarah Belanjawan Negara, Dato' Shahrol Anuwar Sarman.


Sebelum ini, ANGKASA telah berjumpa dengan Pengarah Belanjawan Negara, Datuk Shahrol Anuwar Sarman bagi membentangkan tiga kertas kerja pemerkasaan pergerakan koperasi di Malaysia yang merangkumi Program Kesedaran Cukai Koperasi Dengan Kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Pembangunan Ekosistem Penternakan Ayam dan Program Peruncitan dan Pemborongan Barang Asas 100 (BA100).

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page