Anugerah baharu, Amalan ESG Terbaik diperkenalkan dalam Anugerah E50 tahun ini: Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Anugerah baharu, Amalan ESG Terbaik diperkenalkan dalam Anugerah E50 tahun ini: Ewon 


SIMBOLIK PERASMIAN ... Ewon (tengah) bersama Ramanan (dua dari kiri), Suriani (dua kanan), Dompok (kiri) dan Rizal.

27 Februari 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, satu Anugerah Khas baharu diperkenalkan di bawah Program Enterprise 50 (E50), tahun ini.

 

Beliau berkata, anugerah baharu itu ialah Amalan Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) Terbaik E50, selain anugerah khas sedia ada iaitu Anugerah Usahawan Wanita Terbaik E50 dan Anugerah Usahawan Eksport Terbaik E50.

 

“Anugerah Amalan ESG Terbaik diperkenalkan bagi memperakui syarikat perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang menjadikan ESG sebagai agenda utama dalam perniagaan.

 

“Selain pendigitalan, aspek kelestarian juga penting dalam memastikan kesinambungan perniagaan.  Melangkah ke hadapan, PMKS perlu melengkapi operasi perniagaan dengan aspek berkaitan kelestarian melalui penerapan amalan ESG,” katanya ketika berucap melancarkan Program Enterprise 50 (E50), di sini, hari ini.

 



Ewon berkata, Enterprise 50 merupakan anugerah berprestij yang meraikan pencapaian 50 PMKS tempatan terunggul di Malaysia.

 

“Saya melihat Anugerah E50 sebagai satu mekanisme penilaian dan pengiktirafan kepada PMKS yang mampu mendorong perubahan ke arah peningkatan daya saing bagi meningkatkan sumbangan mereka kepada ekonomi.

 

“Anugerah ini mengetengahkan PMKS tempatan yang menghasilkan produk dan perkhidmatan berkualiti, bukan sahaja untuk pasaran tempatan, tetapi juga untuk pasaran antarabangsa,” katanya.

 

Beliau berkata, bagi membolehkan PMKS kekal berdaya saing serta meningkatkan kedudukan negara dalam rantaian nilai global, PMKS perlu menyesuaikan diri dengan peralihan pasaran dan teknologi terkini.

 

“KUSKOP turut memberikan fokus kepada usaha mendigitalisasikan PMKS bagi mempercepatkan tahap adaptasi teknologi serta menggalakkan penggunaan platform digital untuk memperluaskan pasaran domestik dan antarabangsa,” katanya.

 

Ewon berkata, dalam hal ini, pada tahun ini SME Corp. Malaysia memperuntukkan sebanyak RM55 juta bagi Program Peningkatan Kapasiti dan Keupayaan PKS (BAP) manakala RM30 juta lagi diperuntukkan di bawah Program Peningkatan Enterprise Bumiputera (BEEP).

 

“Program-program ini bertujuan meningkatkan kapasiti PMKS termasuk melalui peningkatan teknologi dan pendigitalan,” katanya.

 



Katanya lagi, SME Corp. Malaysia juga telah mengambil inisiatif menerapkan pendigitalan dalam penyampaian perkhidmatan, khususnya dalam menyediakan bantuan kewangan kepada PMKS.

 

“Dalam hal ini, SME Corp. Malaysia membangunkan Sistem Bersepadu Penarafan dan Insentif PMKS  atau Sistem MyBPI, bagi membolehkan para PMKS memohon bantuan kewangan secara dalam talian selain mendaftar Status PMKS dan melaksanakan penarafan SCORE.

 

“Sehubungan ini permohonan bagi Anugerah E50 tahun ini akan dilaksanakan sepenuhnya secara dalam talian melalui Sistem MyBPI,” katanya.

 

Ewon berkata, beberapa pihak telah bersetuju menjadi rakan strategik bagi Program Enterprise 50 tahun ini, antaranya Deloitte Malaysia, YTL Corporation Berhad, RHB Bank Berhad, RAM Rating Services Berhad, Media Prima Omnia, ASTRO Malaysia Holdings Berhad, Malaysia SME, Telekom Malaysia, Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) serta Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad.

 

Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Dato’ Ramanan Ramakrishnan, Ketua Setiausaha KUSKOP Dato’ Sri Suriani Dato' Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan) KUSKOP Datuk Hj. Zamri Salleh, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar & Pemantauan), kementerian Noor Afifah Abdul Razak, Pengerusi, SME Corp. Malaysia Tan Sri Bernard Giluk Dompok dan Ketua Pegawai Eksekutif, SME Corp. Malaysia Rizal Nainy.

bottom of page