Anwar adakan lawatan mengejut di KLIA
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Anwar adakan lawatan mengejut di KLIA


3 Julai 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat lawatan mengejut ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Ahad untuk memantau keadaan pengoperasian Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Imigresen (JIM) di pintu masuk utama negara.


Beliau berkata urusan di kedua-dua jabatan itu adalah terkawal, tetapi ada beberapa permasalahan yang perlu diperbaiki disusuli dengan siasatan dan tindakan wajar.


"Umumnya majoriti pekerja dan petugas Imigresen berjalan dengan baik. Cuma ada beberapa masalah, kita adakan siasatan untuk perbaiki atau kalau ada kesilapan, akan diambil tindakan wajar," katanya kepada pemberita selepas tinjauan kira-kira 30 minit di KLIA pada Ahad.


Lawatan Anwar itu tidak diringi oleh mana-mana menteri Kabinet atau orang kenamaan.


Anwar berkata beliau akan meneliti langkah-langkah penambahbaikan yang telah diambil dan harus dilakukan oleh JKDM dan JIM.


"Setakat ini saya lihat memang Imigresen respons sangat baik dan positif. Yang kita harus kenal pasti ialah beberapa kelompok kecil yang masih tidak mampu bawa perubahan, termasuk berdepan dengan beberapa pertuduhan," katanya.


Beliau juga berkata perbincangan awal berhubung isu-isu JKDM dan JIM akan dilakukan dalam mesyuarat Kabinet Rabu ini.


Lawatan Anwar itu berikutan satu insiden yang melibatkan orang kenamaan yang dikatakan cuba 'menyelamatkan' seorang wanita warga China yang dinafikan kemasukan ke negara ini pada 29 Jun lepas.


Insiden itu turut tular di media sosial apabila orang kenamaan berkenaan dikatakan masuk ke ruang balai ketibaan itu, tanpa memohon pas keselamatan.


Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh berkata pihaknya akan menjalankan siasatan menyeluruh mengenai insiden itu, merangkumi semua aspek berkaitan.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page