Anwar adakan lawatan rasmi dua hari ke Korea Selatan
- nabalunews
- 5 hours ago
- 1 min read

29 Oktober 2025
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan rasmi selama dua hari ke Gyeongju, Korea Selatan bermula 31 Oktober ini bagi mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC (AELM).
Kementerian Luar dalam kenyataan hari ini memaklumkan, beliau akan diiringi oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
“Beliau akan menyampaikan kenyataan Malaysia semasa Sesi Dialog Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC dengan Tetamu Pengerusi pada 31 Oktober dan Sesi Pemukiman Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC pada 1 November.
“Ia bagi berkongsi dasar dan pencapaian negara, serta memperjuang kepentingan negara-negara Selatan Global,” menurut kenyataan itu.
Mesyuarat yang akan dipengerusikan Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung, bakal membincangkan pengukuhan perdagangan, pemerkasaan kerjasama awam dan swasta, serta pemanfaataan trend memuncul sebagai pemacu pembangunan.
Kementerian itu memaklumkan, Anwar juga dijadual menghadiri dialog bersama Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) pada 31 Oktober dan mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan-rakan sejawatnya dari Ekonomi APEC lain.
Selain itu, Perdana Menteri juga akan bertemu dengan syarikat-syarikat tempatan utama bagi meneroka potensi dalam perniagaan, perdagangan dan pelaburan.
“Sepanjang pertemuan dengan Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC yang lain dan penglibatan di pelbagai platform dua hala dan pelbagai hala, Perdana Menteri akan menggariskan keutamaan Malaysia di bawah Kerangka Ekonomi MADANI.
“Iaitu memberi penekanan kepada keterangkuman, pembangunan mampan dan kerjasama erat demi manfaat semua,” tambah kenyataan itu.
Menurut kementerian itu lagi, penglibatan aktif Malaysia dalam mesyuarat tersebut mencerminkan komitmen berterusan negara untuk memajukan agenda kerjasama ekonomi serantau, kemakmuran bersama serta pembangunan terangkum.


















Comments