- Wartawan Nabalu News
Anwar ajak ASEAN tingkatkan penyepaduan ekonomi agar lebih kukuh
5 Sept 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
JAKARTA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa pemimpin ASEAN untuk meningkatkan penyepaduan ekonomi serantau serta bangunkan kerangka ekonomi serantau yang dinamik, inklusif, mampan dan berdaya tahan.
Beliau menekankan bahawa perdagangan sesama ASEAN, yang kini hanya 22.3 peratus daripada jumlah perdagangan ASEAN, perlu ditingkatkan dengan penyusunan strategik yang lebih besar.
Anwar juga menyeru agar memudahkan pergerakan barangan, modal, tenaga kerja mahir dan perkongsian teknologi dalam kalangan negara anggota dan rakan luar.
"Kerjasama dengan rakan luar untuk menyumbang ke arah matlamat ini juga perlu dipertingkat," katanya,” Beliau berkata ini dalam Sidang Kemuncak ASEAN Ke-43 yang berlangsung di sini hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Malaysia bersedia untuk menyumbang melalui Rangka Kerja Ekonomi MADANI yang merangkumi langkah-langkah untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi, pelaburan, dan industri.
Beliau turut memuji kemajuan sosio-ekonomi yang dicapai oleh ASEAN, termasuk mengurangkan kemiskinan, meningkatkan perdagangan antara wilayah, dan memajukan inovasi teknologi.
Jelas beliau, ASEAN kini merupakan ekonomi kelima terbesar di dunia dengan keluaran dalam negara kasar hampir AS$3 trilion (AS$1=RM4.65) dan dijangka menjadi yang keempat terbesar menjelang 2030.
Comments