Anwar Bertemu Abang Johari, Hajiji Bincang Kepentingan Bersama
- nabalunews
- Jul 14, 2025
- 1 min read

14 Julai 2025
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan pertemuan dengan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Perdana Menteri menerusi kenyataan ringkas di media sosial berkata, pertemuan itu bagi membincangkan pelbagai perkara berkepentingan bersama.
Anwar berkata, hubungan erat dan kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, terutama Sabah dan Sarawak adalah sangat penting.
“Ini bagi membantu menjayakan agenda nasional berteraskan pembangunan yang inklusif dan seimbang demi kemajuan bersama seluruh rakyat Malaysia,” katanya.
Dalam pertemuan itu, Anwar dilihat turut menerima Laporan Tahunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2024 yang disampaikan Hajiji.
Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri turut mempengerusikan Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri ke-146 di sini, hari ini.
Menurutnya, mesyuarat tersebut berperanan sebagai platform penting dalam memperkukuh kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, terutamanya dalam menyelaras dasar serta inisiatif pembangunan secara bersama.
“Melalui sinergi ini, kita dapat memastikan pelaksanaan agenda pembangunan negara berjalan lancar, menyeluruh dan inklusif demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan Malaysia secara keseluruhan,” katanya.















Comments