• Farah Salim

Anwar cadang debat terbuka calon ketua menteri semua parti



11 November 2021

Oleh Farah Salim


KUALA LUMPUR: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Anwar Ibrahim mencadangkan supaya satu debat terbuka dianjurkan antara calon-calon Ketua Menteri dari PH, Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) yang bertanding di Melaka.


Beliau yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yakin cadangan itu adalah wahana terbaik dalam melonjak nama Malaysia sebagai contoh negara demokrasi yang sihat dan matang.


“Saya sambut baik malah mengalu-alukan hasrat kerajaan yang menyatakan kesediaan untuk memberi ruang berkempen sama rata kepada semua calon-calon pilihan raya umum (PRU) Melaka termasuk yang ditonjolkan Pakatan Harapan di saluran media rasmi kerajaan.


“Lantaran itu, saya mencadangkan agar satu debat terbuka dianjurkan antara calon-calon Ketua Menteri dari PH, BN dan PN yang bertanding di Melaka.


“Saya yakin cadangan ini adalah wahana terbaik dalam melonjak nama Malaysia sebagai contoh negara demokrasi yang sihat dan matang,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Kesemua parti yang bertanding dalam Pilihan raya Negeri (PRN) Melaka telah menamakan calon ketua menteri masing-masing jika mereka menang.


PH telah menamakan bekas ketua menteri Adly Zahary, BN menamakan bekas ketua menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali manakala PN pula menamakan Mas Ermiyati Samsudin, ahli parlimen BN yang melompat ke Bersatu yang juga timbalan menteri sebagai calon mereka.