Anwar dakwa persepsi rasuah meningkat kerana tiada tekad politik
top of page
  • Farah Salim

Anwar dakwa persepsi rasuah meningkat kerana tiada tekad politik



1 Mac 2022

Oleh Farah Salim


KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa persepsi rasuah di negara ini meningkat disebabkan tidak ada tekad politk untuk menanganinya.


Katanya, antara masalah besar yang beliau bangkitkan sebelum ini ialah Pandora Papers, soal IMDB yang belum terungkai dan baru-baru ini timbul isu melibatkan institusi penting negara.


“Kalau orang yang terlibat itu bergentayangan ke sana ke sini seolah-olah tidak ada permasalahan, persepsi ini akan merosakkan imej negara kalau tidak ada kesediaan bagi pihak pimpinan politik.


“Saya tahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempunyai peranan besar dalam hal ini tapi tekad politik juga perlu. Kita tidak boleh katakan ini sebagai persepsi biasa kerana orang melihat faktanya bahawa ada keterangan baru yang menggemparkan meliabatkan institusi penting negara termasuk Bank Negara Malaysia.


“Mengapa tidak ada sikap, kesungguhan pimpinan khususnya Perdana Menteri untuk menyatakan bahawa SPRM harus bertindak tanpa ragu terhadapp siapa sahaja?,” katanya pada sesi pertanyaan-pertanyaan menteri, pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.


Sementara itu ketika menjawab soalan tambahan daripada Ahli Parlimen Port Dickson itu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kemerosotan dan kedudukan negara dalam CPI bukan sahaja disebabkan oleh kes-kes rasuah tetapi juga disumbang oleh perkara lain seperti hak asasi.


“Pandangan hak asasi dari badan-badan antarabangsa berbeza daripada nilai yang ada di negara ini. Mereka melihat hak asasi berdasarkan nilai-nilai mereka dan kedua, dari segi keperluan pembaharuan institusi dan akta-akta yang perlu dipinda.


“Contohnya akta atau Rang Undang-Undang Sumbangan Dana Politik, ini juga salah satu tuntutan daripada badan antarabangsa supaya kita laksanakan di negara kita. Dari segi Akta Rahsia Rasmi, Akta Kesalahan Pilihan Raya dan sebagainya, dari segi keseluruhannya ada sembilan perkara yang dijadikan sebagai alasan untuk memberikan kita ranking,” katanya.


Dari segi tindakan yang dilaksanakan berkaitan isu rasuah, Ismail Sabri berkata banyak kes sedang berjalan di mahkamah melibatkan sesiapa sahaja.


“Tidak kira dari pihak pembangkang mahupun dari pihak kerajaan …. banyak kes masih lagi berjalan di mahkamah, itu menunjukkan bahawa kerajaan serius dari segi mengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja yang mengamalkan rasuah,” katanya.


Perdana Menteri itu berkata, pihak kerajaan tidak melindungi sesiapa sahaja dalam isu rasuah.


“Sesiapa sahaja bertanggungjawab akan dihadapkan ke mahkamah dan mahkamah akan menentukan sama ada orang itu bersalah atau tidak jadi tidak boleh menganggap bahawa pihak kerajaan pada hari ini melindungi individu tertentu dan mengambil tindakan terhadap orang tertentu hanya untuk memuaskan hati setengah pihak,” katanya.


Ismail Sabri turut menegaskan bahawa, beliau tidak akan berkompromi dengan sesiapa sahaja yang terlibat rasuah.


“Kita tidak tahu dulu, sama ada, dulu ada selective prosecution atau tidak, tapi hari ini tidak ada pendakwaan terpilih kepada sesiapa sahaja. Itu janji kerajaan,” katanya.


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page