top of page

Anwar gesa campur tangan antarabangsa bebas aktivis GSF

  • nabalunews
  • Oct 2
  • 1 min read

ree

2 Oktober 2025


KUALA LUMPUR: Malaysia meminta campur tangan antarabangsa termasuk Amerika Syarikat (AS) bagi membebaskan semua aktivis dan sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) yang ditahan tentera Israel.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata beliau bersama Kementerian Luar telah menghubungi beberapa pemimpin dunia termasuk Setiausaha Negara AS, Marco Rubio bagi menuntut campur tangan segera pembebasan sukarelawan serta aktivis Malaysia yang ditahan.


“Saya juga telah menghubungi Presiden Türkiye Recep Tayyip Erdogan, Presiden Mesir Fatah Al-Sisi, serta Perdana Menteri Qatar Sheikh Mohammed Abdulrahman bagi memohon sokongan mereka berhubung usaha yang sama,” katanya menerusi rakaman video yang dimuat naik di Facebook hari ini.


Anwar berkata, apa yang didakwa Isreal menjadi kesalahan oleh aktivis terbabit adalah merupakan keprihatinan mereka atas prinsip kemanusiaan, membantu rakyat Palestin yang lemah dan kelaparan serta mereka yang sedang sakit khususnya dalam kalangan kanak-kanak dan wanita.


Beliau turut menyifatkan tindakan rejim itu menahan aktivis antarabangsa dan menghalang bantuan kemanusiaan daripada sampai ke Gaza sebagai bukti keruntuhan nilai kemanusiaan sambil menegaskan bahawa kezaliman yang dilakukan Israel mesti dihentikan serta-merta.


“Insya-Allah kita akan berusaha yang terbaik untuk menuntut pembebasan segera (sukarelawan dan aktivis) dan pada masa yang sama memastikan saluran bantuan kemanusiaan ke Gaza serta seluruh bumi Palestin dapat disampaikan tanpa sekatan,” katanya.


Kenyataan Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) memaklumkan bahawa setakat 3.30 petang ini, seramai 15 sukarelawan kemanusiaan GSF rakyat Malaysia disahkan telah ditahan oleh tentera Israel selepas kapal yang mereka naiki dipintas.


GSF, yang disertai lebih 500 aktivis dari 44 negara, belayar menuju Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel serta menghantar bantuan kemanusiaan ke wilayah itu.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page