Anwar gesa pemimpin Kemboja, Thailand berpegang kepada semangat dialog
- nabalunews
- 2 hours ago
- 1 min read

21 Disember 2025
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Kemboja dan Thailand berpegang kepada semangat dialog bagi menamatkan ketegangan serta memelihara keamanan dan kestabilan rantau ASEAN.
Beliau berkata, perkara itu dibincangkan menerusi perbualan telefon bersama rakan sejawatnya dari Kemboja, Hun Manet dan Thailand, Anutin Charnvirakul.
“Saya berkesempatan berhubung dengan Perdana Menteri Kemboja dan Thailand bagi bertukar pandangan serta membincangkan hala tuju terbaik ke arah meredakan ketegangan yang timbul antara kedua-dua negara.
“Saya menegaskan pentingnya untuk Kemboja dan Thailand berpegang kepada semangat dialog, kebijaksanaan dan saling menghormati demi menamatkan ketegangan serta memelihara keamanan dan kestabilan rantau ini,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Menurut beliau, Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN yang akan berlangsung esok merupakan wadah sesuai dan konstruktif untuk membolehkan kedua-dua negara berunding secara terbuka.
Jelasnya, kedua-dua negara Thailand dan Kemboja perlu menyelesaikan perbezaan secara aman serta mencapai penyelesaian yang adil dan berkekalan.
Sementara itu, Wisma Putra memaklumkan mesyuarat khas Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN mengenai situasi terkini antara Kemboja dan Thailand esok adalah susulan persetujuan dicapai oleh Anwar serta Perdana Menteri kedua-dua negara pada 11 Disember lalu.
Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia akan mempengerusikan mesyuarat berkenaan melalui Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.
Menurut Wisma Putra, ia akan memberi platform kepada ASEAN untuk mempertimbangkan langkah-langkah menyokong usaha berterusan bagi meredakan ketegangan serta menghentikan permusuhan demi keamanan dan kestabilan antara kedua-dua negara anggota tersebut serta rantau ini.


















Comments