Anwar: Kerajaan tidak akan kenakan dasar cukai yang membebankan rakyat
1 Ogos 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan yang dipimpinnya tidak akan melaksanakan dasar kutipan cukai yang membebankan rakyat, tetapi akan mengikut prinsip keadilan dan kesejahteraan.
Beliau berkata, ini adalah berdasarkan pandangan beberapa ilmuan terdahulu, termasuk Ibnu Khaldun yang menulis dalam bukunya Mukadimah tentang kaedah kutipan cukai yang sesuai.
"Beliau jelas memperkatakan bahawa cukai adalah perlu tetapi jangan kenakan cukai melampau dan ia tidak boleh sama sekali dilihat sebagai cukai yang membebankan rakyat. Saya fikir prinsip ini mesti kita terapkan," katanya.
Beliau menyampaikan ucapan ini ketika merasmikan Persidangan Cukai Kebangsaan 2023 yang dianjurkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Institut Percukaian Malaysia (CTIM) di sini hari ini.
Anwar berkata, kerajaan akan membuat beberapa perubahan dalam dasar percukaian, termasuk Bajet 2024, yang akan dibentuk dengan jelas berdasarkan prinsip yang kukuh.
"Cukai hanya apabila perlu dan ia tidak boleh dilihat sebagai beban kepada orang ramai dan komuniti perniagaan," katanya.
Beliau juga berkata, dengan dasar cukai yang jelas, kerajaan berhasrat untuk memastikan pelabur asing dan domestik melihatnya sebagai peluang untuk bekerjasama dari sudut perniagaan yang akan memberi ganjaran kepada mereka.
"Pada masa yang sama, ia untuk menyemai rasa tanggungjawab, konsisten dengan konsep Madani, yang mempunyai peranan dalam keluarga, masyarakat dan negara," katanya.
Tambah Anwar, beliau terbuka dengan sebarang pandangan tentang keperluan untuk melakukan pembaharuan dan perubahan terhadap dasar percukaian negara.
"Saya akan mendapatkan cadangan dan input dari LHDN bagaimana untuk melaksanakan atau melaraskan beberapa dasar atau langkah percukaian baharu dengan berkesan," katanya.
Beliau juga berhasrat untuk menggalakkan pembayar cukai untuk menjadi lebih produktif dan menyumbang kepada negara.
"Tetapi seperti yang kita tahu, meningkatkan ekonomi dengan cita-cita sedemikian dan membantu kepada kebajikan golongan yang memerlukan dan terpinggir, institusi dan agensi percukaian mestilah sangat cekap, bersih berkesan," katanya.
Kommentare