ANWAR MAHU KERAJAAN BUAT PERUBAHAN TUNTAS STRATEGI PERANGI COVID-19ANWAR MAHU KERAJAAN BUAT PERUBAHAN TUNTAS STRATEGI PERANGI COVID-19
top of page
  • Wartawan Nabalu News

ANWAR MAHU KERAJAAN BUAT PERUBAHAN TUNTAS STRATEGI PERANGI COVID-19


Anwar Ibrahim

16 Jun 2021 Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan harus ada perubahan tuntas dalam strategi membendung wabak Covid-19 di negara ini.


Beliau berkata antaranya ialah bersandarkan kaedah saintifik, perkongsian data, ketelusan dan kebertanggungjawaban.


“Jika kita tidak patuhi sains saat ini, maka pengorbanan rakyat Malaysia sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah sia-sia. Virus ini akan terus merempuh dan mengorbankan banyak nyawa.


“Warga miskin dan melarat akan terus menerima kesan besar dari wabak dan PKP, juga dalam masa yang sama yang kaya akan bertambah kaya, malah mungkin menerima manfaat dari krisis ini. Ini sangat tidak adil, dan ia adalah kesan langsung dari kebijakan kerajaan PN dan juga peranan Parlimen yang dilenyapkan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Anwar berkata, ujian dan pengesanan kes-kes baharu juga perlu dipergiatkan bagi mengasingkan mereka dan memberi dukungan perubatan kepada yang dijangkiti.


“Jika kita pertingkatkan kadar ujian, dan tidak mengesan kes-kes baharu, maka logiklah untuk mengatakan penularan wabak ini sedang menurun. Ramai pakar perubatan telah membangkitkan persoalan ini, tetapi Kementerian Kesihatan tidak mempedulikannya, malah jawapan yang diberikan paling tidak masuk akal,” katanya.


Beliau berkata, jumlah kes positif Covid-19 yang dilaporkan telah menurun dari 9,020 pada 29 Mei kepada 4,949 pada 14 Jun.


Katanya, ini bermakna terdapat kesenjangan dari segi data sekiranya diambil kira kadar kes positif dengan kadar kematian dalam tempoh sama.


“Data umum ini tidak menggambarkan penurunan sebenar sebanyak 45 peratus dalam laporan harian kes Covid-19.


“Penerusan penggunaan katil-katil ICU yang tinggi dan perebakan kes-kes Covid-19 yang parah menggambarkan virus ini sudah tersebar secara meluas dan kita sedang berhadapan dengan mutasi Covid-19 yang bertambah ganas,” katanya.

Anwar berkata, pada 29 Mei lalu, sebanyak 126,480 ujian saringan telah dilakukan dan kadar pengujian meningkat sebanyak 166 peratus dalam 15 hari kebelakang.


Katanya, kadar kes harian meningkat 104 peratus pada tempoh yang sama dan kadar kes positif hampir atau melebihi tujuh peratus pada minggu pertama bulan Jun.


“Sejak 29 Mei, jumlah kes harian menurun sebanyak 45 peratus dan jumlah ujian saringan juga menurun 44 peratus. Kadar kes positif meningkat tiga hari berturut-turut dan secara puratanya sebanyak 6.67 peratus untuk tujuh hari kebelakang. Di sesetengah negeri, kadar kes positif adalah setinggi 13 peratus.

“Pengiraan matematik tahap rendah sudah memadai untuk merungkai kesenjangan-kesenjangan ini. Jika semalam kita jalankan ujian saringan sebanyak 100,000, berkemungkinan besar jumlah harian kes Covid-19 akan melebihi paras 7,000 kes. Jika 150,000 ujian saringan, kadar kes positif kita akan mencapai 10,000 kes.


“Amat mudah untuk mengelabui pandangan umum terkait parahnya situasi pandemik di negara ini melalui data yang selektif dan tidak seimbang. Ia juga tidak mustahil untuk data ini dimanipulasi bagi menggambarkan virus itu sedang merebak pantas bagi mewajarkan langkah darurat. Namun, tidak cukup pantas untuk mengakui kelemahan mereka dalam mengawal dan membendung wabak,” katanya.

bottom of page