Anwar: Malaysia dan ASEAN tidak perlu terikat dengan set minda Perang Dingin
16 November 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
SAN FRANCISCO: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, negara seperti Malaysia dan kumpulan serantau seperti ASEAN tidak perlu terikat dengan set minda Perang Dingin dalam melihat dunia ini dan kuasa-kuasa besar.
Beliau berkata, dunia pada masa ini adalah lebih rumit dan tidak menentu, yang menuntut negara-negara besar mahupun kecil untuk bekerjasama dan bersatu padu dan bukannya bersaing dan bercanggah.
"Oleh itu, saya rasa pertemuan antara Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden dan Presiden China Xi Jinping di luar Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) adalah sangat penting.
"Ia harus menghantar satu isyarat jelas bahawa kita boleh bekerjasama dan mempercayai antara satu sama lain untuk menangani isu-isu serius seperti Perubahan Iklim,” katanya dalam sesi soal jawab di Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif APEC Ke-30 bertemakan ”The Global Economy and State of The World,” di sini pada Rabu.
Anwar memberi contoh beberapa isu kontroversi yang sedang berlaku, seperti peperangan di Ukraine dan Gaza.
"Anda harus cuba dan terima hakikat bahawa anda mungkin tidak boleh mencapai semua hasil yang anda inginkan tetapi libat urus ini adalah penting untuk dicuba dan mencari bidang yang boleh dijalankan.
"Negara seperti Malaysia dan ASEAN tidak harus dipaksa untuk melihat dunia dan kuasa-kuasa besar dalam set minda Perang Dingin,” katanya.
Perdana Menteri menegaskan kedua-dua negara, Amerika Syarikat dan China sama penting bagi Malaysia.
"Amerika Syarikat adalah rakan tradisi dan pelabur utama di Malaysia tetapi ada perubahan dan ada peningkatan dalam perdagangan dan pelaburan dari China.
"Jadi mengapa kemudian meletakkan kami dalam keadaan yang sukar, satu permainan campur-tolak.
"Untuk kebaikan negara-negara membangun dan juga untuk Barat dan Timur, saya percaya penyelesaiannya tentunya kerjasama yang lebih besar,” katanya.
"Pemimpin bijak dengan wawasan dan komitmen. Kita harus berkongsi idea dan boleh menyelesaikan isu-isu dengan lebih berkesan,” katanya.
Anwar tiba di sini pada Isnin (13 November) untuk menghadiri Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) dari 14 hingga 17 November, yang merupakan penampilan sulung beliau selaku Perdana Menteri Malaysia pada mesyuarat itu.
Beliau diiringi isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil selain pegawai-pegawai kanan kerajaan.
ความคิดเห็น