ANWAR MINTA PERKENAN AGONG ADAKAN SEGERA SIDANG PARLIMENANWAR MINTA PERKENAN AGONG ADAKAN SEGERA SIDANG PARLIMEN
top of page
  • Wartawan Nabalu News

ANWAR MINTA PERKENAN AGONG ADAKAN SEGERA SIDANG PARLIMEN


Datuk Seri Anwar Ibrahim

5 Mac 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim merayu kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya membenarkan sidang Parlimen diadakan secepat mungkin.


"Selaras dengan kuasa wewenang Duli Tuanku di bawah Seksyen 14 (1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 dibaca bersama Perkara 40 (2) Perlembagaan Persekutuan, kami dengan rendah diri dan seikhlasnya merayu kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Tuanku Agong; sekiranya diperkenankan, untuk menitah sidang Parlimen diadakan dengan kadar segera," katanya dalam kenyataan media yang dikongsikan di media sosial Facebooknya semalam.



Anwar berkata persidangan Parlimen perlu diadakan segera bagi membentangkan beberapa perkara termasuk pengisytiharan Darurat serta Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 bagi memastikan prinsip hak asasi manusia, kebebasan masyarakat madani, ketulusan dan kedaulatan undang-undang dapat dipelihara.


"Keberkesanan langkah-langkah untuk membendung penularan wabak COVID-19 demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat termasuk jadual imunisasi vaksin kepada rakyat;


"Ia juga perlu bagi melihat keberkesanan pelaksanaan Belanjawan 2021 demi memastikan kelangsungan hidup rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana (B40 dan M40) dan keberkesanan ikhtiar pemulihan ekonomi negara semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.


Anwar berkata, ahli-ahli Dewan Rakyat Pakatan Harapan turut menjunjung kasih titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 24 Februari yang menzahirkan pandangan bahawa Dewan Rakyat boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuatkuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Duli Tuanku atas nasihat YAB Perdana Menteri.



"Kami mengalu-alukan titah Duli Tuanku yang bertujuan menegakkan amalan sistem demokrasi yang berteraskan prinsip Keluhuran Perlembagaan," katanya.


Beliau turut menzahirkan kekecewaan terhadap kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada Rabu

bahawa Jemaah Menteri menasihatkan KDYMM Seri Paduka Baginda Tuanku Agong supaya tidak diadakan Sidang Parlimen semasa tempoh Darurat berkuatkuasa.


Katanya kenyataan itu bertentangan dengan pandangan dan titah Duli Tuanku.


"Demi menegakkan prinsip Keluhuran Perlembagaan dan membolehkan Parlimen memainkan peranan yang wajar bagi memastikan semak dan imbang, kami dengan penuh tawadhu’ memohon ihsan dan kebijaksanaan KDYMM Seri Paduka Baginda Tuanku Agong untuk menggunakan wewenang Duli Tuanku," katanya.


Anwar turut menzahirkan penghargaan kepada pihak kerajaan dalam merealisasikan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dan kepada para wira-wirawati petugas barisan hadapan dalam pengorbanan yang dicurahkan tanpa mengira masa dan penat dalam memerangi wabak Covid-19.


bottom of page