top of page

Anwar mulakan lawatan rasmi 2 hari ke Timor-Leste

  • nabalunews
  • 19 hours ago
  • 2 min read

ree

23 September 2025


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selamat tiba di Dili bagi memulakan lawatan rasmi dua hari ke Timor-Leste.


Memetik laporan Bernama, pesawat khas yang membawa Anwar mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Presiden Nicolau Lobato pada 2.43 petang waktu tempatan (1.43 tengah hari waktu Malaysia).


Hadir sama Duta Besar Malaysia ke Timor-Leste, Datuk Amarjit Singh Sarjit Singh dan Ketua Protokol Negara Timor-Leste, Juvencio Martins.


Mengiringi Perdana Menteri dalam lawatan itu ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil selain pegawai kanan Jabatan Perdana Menteri serta Kementerian Luar.


Kementerian Luar dalam kenyataan semalam berkata, lawatan ini akan terus memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara selain menzahirkan sokongan berterusan Malaysia terhadap aspirasi Timor-Leste untuk menjadi anggota penuh ASEAN pada Oktober 2025.


Katanya, agenda rasmi Anwar akan dimulakan dengan istiadat sambutan negara di Istana Presiden, diikuti kunjungan hormat terhadap Ramos-Horta, selain menghadiri jamuan rasmi dianjurkan bersama Presiden dan Perdana Menteri Timor-Leste.


Keesokannya, beliau dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatnya, Gusmão di Istana Kerajaan dan dijangka membincangkan kerjasama dua-hala termasuk aspek perdagangan dan pelaburan, pendidikan tinggi, pelancongan, kesihatan serta pembangunan modal insan.


“Kedua-dua pemimpin juga akan menyaksikan pertukaran dua memorandum persefahaman (MoU) antara institusi perniagaan iaitu Asian Institute of Chartered Bankers (AICB) dan Banco Central de Timor-Leste (BCTL) bagi kerjasama pembangunan profesional dan kapasiti dalam sektor kewangan.


“Satu lagi MoU bakal dimeterai melibatkan Asian Institute of Insurance (AII) dan BCTL untuk meningkatkan kualiti pendidikan dan pembangunan profesional bidang insurans,” menurut Kementerian Luar.


Anwar turut dijadual menyampaikan ucaptama di Parlimen Nasional sebelum dianugerahkan “Grand Collar of the Order of Timor-Leste”, anugerah sivil tertinggi negara itu, sebagai pengiktirafan terhadap kepimpinan dan komitmen beliau dalam memperkukuh hubungan dua hala dan serantau.


Selain itu, Perdana Menteri juga akan mengadakan pertemuan bersama komuniti rakyat Malaysia dan alumni Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) dan Program Kerjasama Pertahanan Malaysia (MDCP).


Anwar dan Gusmão turut akan melancarkan tapak projek Pusat Konvensyen Antarabangsa di Dili yang bakal dibangunkan dan merupakan pencapaian penting dalam perjalanan Timor-Leste ke arah keanggotaan ASEAN.


Pada 2024, perdagangan dua hala antara Malaysia dan Timor-Leste bernilai AS$18.72 juta (RM85.68 juta).


Eksport Malaysia ke Timor-Leste berjumlah AS$18.37 juta (RM84.06 juta) manakala import dari negara itu adalah sebanyak AS$0.35 juta (RM1.62 juta).

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page