top of page

Aplikasi AI Grok: MCMC jumpa wakil platform X minggu depan

  • nabalunews
  • 29 minutes ago
  • 1 min read

14 Januari 2026


PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan bertemu dengan wakil platform X minggu hadapan bagi membincangkan isu penyalahgunaan berkaitan Grok, aplikasi kecerdasan buatan (AI) milik platform itu.


Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, persetujuan mengenai pertemuan tersebut telah dimaklumkan kepada MCMC pagi tadi, hasil libat urus awal antara pihak berkuasa dan pengendali platform berkenaan.


“Setakat jam 10 pagi tadi, pihak MCMC memaklumkan mereka telah berhubung dengan pihak X untuk cuba adakan pertemuan pada minggu hadapan.


“Tapi ada beberapa perkara yang akan disahkan sebelum pertemuan itu berjalan. Mereka (MCMC dan X) ada berhubung dan sekarang kita nantikan maklumat terakhir,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet hari ini.


Sebelum ini, MCMC memutuskan untuk menyekat sementara akses kepada aplikasi AI Grok bagi pengguna di Malaysia susulan penyalahgunaan berulang yang melibatkan penjanaan kandungan lucah, kandungan seksual eksplisit serta bahan tidak senonoh yang melampau.


Kandungan terbabit turut melibatkan imej manipulasi tanpa persetujuan termasuk membabitkan wanita dan kanak-kanak, walaupun beberapa siri libat urus kawal selia telah dikeluarkan kepada X Corp dan xAI LLC.


Semalam, MCMC memaklumkan pihaknya dengan kerjasama Kementerian Komunikasi sedang mengambil tindakan undang-undang terhadap X Corp dan xAI LLC, susulan kegagalan platfom itu memastikan keselamatan pengguna di Malaysia berkaitan penggunaan Grok.


Menurut suruhanjaya itu, peguam cara telah dilantik dan prosiding undang-undang akan dimulakan dalam masa terdekat.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page