top of page

Atlet Malaysia perlu terus fokus buru emas pertama Olimpik - Hannah

  • nabalunews
  • Jul 28, 2024
  • 1 min read

28 Julai 2024


PUTRAJAYA: Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berharap atlet Malaysia di Paris khususnya atlet di bawah program Road To Gold (RTG) untuk terus fokus dalam misi membawa pulang pingat emas Olimpik pertama negara.


Beliau meminta atlet Malaysia supaya memanfaatkan sepenuhnya masa yang ada bagi melakukan persiapan terbaik sebelum turun bertanding dalam acara masing-masing kerana setiap hari di Paris amat bernilai.


Menurutnya sekretariat Malaysia di Paris sedia membantu mana-mana atlet yang memerlukan bantuan.


“Saya berharap atlet yang masih bertanding untuk memanfaatkan masa yang ada di Paris dengan sepenuhnya kerana setiap hari itu bernilai.


“Saya juga berharap atlet-atlet di bawah program RTG untuk terus yakin kerana mereka sudah diberikan perkhidmatan yang terbaik,” katanya kepada media selepas menghadiri Larian Amal AEON di Anjung Floria di sini, hari ini.


Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada perenang negara Khiew Hoe Yean dan penembak Johnathan Wong, atas usaha keras mereka di temasya berprestij itu.


Semalam, Hoe Yean terkandas pada saringan kedua 400 meter gaya bebas lelaki manakala Johnathan gagal melayakkan diri ke pusingan akhir 10 meter air pistol lelaki selepas menduduki tempat ke-26 daripada 33 peserta.


Hannah akan berangkat ke Paris pada 31 Julai ini untuk menyemarakkan lagi semangat kontinjen negara.


Sementara itu, pada majlis hari ini, Hannah bersama Presiden Yayasan AEON Malaysia Datuk Iskandar Sarudin menyampaikan sumbangan RM1 juta kepada program AEON KASiH.


Program tersebut bermatlamat membantu golongan B40 yang memerlukan bantuan dari segi kos perubatan atau rawatan.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page