top of page

Atlet wanita negara anggun bergaya, serlah semangat juang di Paris

nabalunews

27 Julai 2024


KUALA LUMPUR: Biarpun hujan membasahi majlis pembukaan sukan Olimpik Paris 2024 malam tadi, kontinjen sukan negara yang tampil bergaya dengan baju tradisional sentuhan pereka duo, Rizman Ruzaini, tetap kelihatan begitu bersemangat membawa nama negara di mata dunia.


Hujan sedikit pun tidak mengganggu konsentrasi kontinjen negara, malah mereka kelihatan begitu gembira meraikan pembukaan sukan penuh berprestij itu.


Bagi atlet terjun negara iaitu Nur Dhabitah Sabri, hujan tidak memberi kesan kepada dirinya.


Baginya, dapat menyertai Sukan Olimpik adalah satu saat yang paling dinanti-nantikan olehnya selama ini.


"Ia adalah saat yang paling saya nantikan, kecuali hujan kerana saya perlu lindungi diri saya.


"Bagaimanapun hujan ini adalah satu rahmat," tulisnya di dalam laman sosialnya selain turut berkongsi persediaan sebelum perarakan bermula.


Walaupun terpaksa menutupi dirinya dengan baju hujan sebelum perarakan bermula, beliau tetap kekal bersemangat hingga tamatnya acara pembukaan itu.


Beliau turut berkongsi beberapa gambar menggayakan baju kurung songket dengan kelubung rona hijau zaitun dalam akaun Instagramnya.


Perkara sama turut dikongsi oleh atlet pelayaran, Nur Shazrin Mohamad Latiff, yang turut diberi mandat untuk menggalas tanggungjawab sebagai pembawa Jalur Gemilang bersama penerjun, Bertrand Rhodict Lises.


Berdasarkan perkongsiannya, beliau kelihatan begitu bersemangat melambaikan tangan pada pembukaan acara sukan berkenaan.


"Lihat kami di televisyen sambil mengibarkan Jalur Gemilang," katanya yang turut mengambil peluang menggayakan pakaian tradisional 'The Malaya'.


Bagi atlet golf, Ashley Lau, beliau tetap gembira kerana dapat berpeluang berada dalam perarakan pembukaan Sukan Olimpik 2024 itu walaupun keadaan tidak seperti yang dijangkakan.


Beliau juga berkongsi gambar dalam keadaan basah kuyup ketika berada di atas bot yang membawa kontinjen negara.


"Hujan turun sepanjang kami melambai-lambai kepada semua," katanya berdasarkan perkongsiannya di 'IG Story'.


Tidak ketinggalan juga, legenda skuasy wanita negara, Datuk Nicol Ann David, yang juga tidak ketinggalan berkongsi kegembiraan pada perarakan sukan berkenaan.


"Tiada kata-kata yang dapat diungkapkan mengenai perasaan berada sebahagian dalam perarakan Sukan Olimpik 2024 ini untuk Malaysia," katanya yang bertindak sebagai Timbalan Chef De Mission.


Pada perarakan berkenaan, kontinjen Malaysia diwakili enam atlet dan empat pegawai pada acara pembukaan Paris 2024.


Wakil negara tampil mempersona apabila menggayakan busana 'The Malaya' berwarna hijau zaitun dengan motif keemasan rekaan pereka fesyen terkemuka tempatan Rizman Ruzaini.


Atlet wanita memakai baju kurung songket dengan kelubung manakala atlet lelaki berbaju Melayu Teluk Belanga sekali gus mempersembahkan imej perpaduan dimiliki rakyat Malaysia yang berbilang kaum di mata dunia.


Mengikut rekod, sebanyak 85 bot membawa kira-kira 6,800 atlet belayar menyelusuri sungai berkenaan dengan jangkaan 320,000 penonton hadir menyaksikan acara penuh gemilang itu di kedua-dua tebing Sungai Seine.

Коментарі


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page