top of page

Azam Baki dipanggil beri keterangan isu pemilikan saham

  • nabalunews
  • Feb 22
  • 1 min read

22 Februari 2026


PUTRAJAYA: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki telah dipanggil untuk memberi keterangan kepada Jawatankuasa Khas Siasatan berkaitan isu pemilikan saham pada 19 Februari lepas.


Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, Azam dipanggil untuk memberikan penjelasan berhubung pemilikan 17.7 juta saham dengan harga belian sebanyak RM1.416 juta dalam syarikat Velocity Capital Partner Bhd.


“Berdasarkan laporan awal yang diterima, jawatankuasa sedang meneliti aspek pematuhan dan keteraturan pemilikan saham tersebut oleh Tan Sri Azam Baki.


“Jawatankuasa juga masih dalam proses menilai segala keterangan yang telah diperoleh serta akan memanggil saksi-saksi lain yang berkaitan bagi melengkapkan siasatan terhadap perkara ini,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.


Shamsul Azri berkata, jawatankuasa berkenaan memberi jaminan bahawa siasatan menyeluruh akan dilaksanakan secara telus, bebas dan profesional.


Menurutnya, hasil siasatan dan syor pertimbangan bagi tindakan selanjutnya akan diangkat kepada pihak berkuasa termasuk sekiranya didapati wujud sebarang pelanggaran terhadap mana-mana undang-undang jenayah atau peraturan yang berkuat kuasa.


Media sebelum ini melaporkan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Siasatan bagi menyiasat isu pemilikan saham oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM itu.


Turut menganggotai jawatankuasa berkenaan ialah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz serta Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.


Portal antarabangsa Bloomberg dalam laporannya sebelum ini mendakwa Azam memiliki 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Bhd, atau 1.7 peratus berdasarkan penyata tahunan syarikat tersebut pada 3 Februari tahun lalu.


Azam dalam kenyataan baru-baru ini bagaimanapun berkata, beliau tiada perkara untuk disembunyikan dan membuat pengisytiharan kewangan serta harta selaras peraturan perkhidmatan awam yang berkuat kuasa dan melalui saluran rasmi.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page