top of page
  • Wartawan Nabalu News

Azlina letak jawatan Timbalan Speaker Dewan Rakyat


24 Ogos 2021 Oleh Wartawan Nabalu News KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said meletakkan jawatan sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat. Beliau mengesahkan peletakan jawatannya itu dalam satu kenyataan yang dikongsi dalam akaun Twitter dan Facebooknya semalam. “Dengan pelantikan Perdana Menteri yang baru dan tuntutan awam yang jelas mahukan untuk kerjasama rentas kepartian, saya telah meletakkan jawatan saya hari ini (semalam) untuk mengosongkan kerusi saya supaya Kerajaan dan Pembangkang mempunyai lebih banyak ruang untuk membuat penetapan semula Dewan Rakyat agar Dewan yang mulia ini dapat benar-benar berfungsi sebagai forum persaingan profesional dan kerjasama antara parti mengenai polisi dan urus tadbir. “Saya akan menyokong sebarang pembaharuan yang mungkin mahu dilaksanakan oleh Kerajaan dan Pembangkang mengikut kebijaksanaan kolektif mereka. ”Adalah menjadi satu penghormatan yang besar untuk berkhidmat sebagai Timbalan Yang di-Pertua sepanjang 13 bulan yang lalu. Terima kasih kepada semua rakan-rakan di Parlimen dan rakyat Malaysia yang telah memberikan sokongan dan kritikan yang tidak ternilai, di dalam usaha saya sebagai warga setia Parlimen dan Negara yang tercinta,” katanya dalam kenyataan, semalam. Azlina berkata, dalam menjalankan tugas sebagai Timbalan Yang di-Pertua, timbulnya konflik peranan dan tanggungjawab sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang juga menyandang kedudukan sebagai Ahli Parlimen dalam sebuah Kerajaan Campuran. “Peristiwa baru-baru ini membuktikan bahawa ada keputusan yang berlandaskan pendirian Parti yang bertentangan dengan keputusan yang diharapkan sebagai Ahli Parlimen yang mewakili Kerajaan Campuran. “Sebaiknya, seseorang yang dilantik sebagai Yang di-Pertua atau Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat harus digantung dari memegang apa-apa jawatan politik Parti, bagi memastikan politik yang tidak berat sebelah. Ini merupakan ciri penting untuk jawatan ini supaya ianya dapat berfungsi dengan berkesan tanpa rasa takut atau pilih kasih,” katanya.

Opmerkingen


bottom of page