Bajet 2022: DAP seru kerajaan buat pindaan terhadap bayaran geran khas SabahBajet 2022: DAP seru kerajaan buat pindaan terhadap bayaran geran khas Sabah
top of page
  • Writer's pictureIlona Andrew

Bajet 2022: DAP seru kerajaan buat pindaan terhadap bayaran geran khas Sabah


3 Nov 2021

Oleh Ilona Andrew


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen DAP Kota Kinabalu, Chan Foong Hin mendesak kerajaan agar membuat pindaan terhadap bayaran khas kepada Sabah dalam Bajet 2022.


Beliau menyoal mengapa kerajaan kini kekal kepada jumlah pembayaran khas kepada Sabah sebanyak RM26.7 juta sejak pemerintahan Barisan Nasional (BN) dan bukan seperti yang dijanjikan dan dilaksanakan oleh Kerajaan Perikatan pada tahun 1963.


Memetik ucapan bajet Menteri Kewangan Tun Tan Siew Sin semasa pembentangan bajet pertama selepas pembentukan Malaysia pada tahun 1963, Chan berkata jumlah pembayaran geran khas kepada Sabah sepatutnya berdasarkan anggaran 40 peratus hasil bersih dari negeri itu.


Ucapan itu berbunyi: “Saya harus terlebih dahulu menyebut bahawa hasil daripada Perjanjian Malaysia, pengaturan perlembagaan untuk perkongsian hasil dan perbelanjaan antara Kerajaan Pusat dan Negeri adalah berbeza dalam setiap kes.


“Untuk menyediakan elemen pertumbuhan dalam hasil negeri, Sabah juga akan menerima setiap tahun geran bersamaan 40 peratus daripada sebarang peningkatan dalam hasil Persekutuan yang diperolehi dari Sabah … Jumlah yang perlu dibayar akan dikira berdasarkan hasil sebenar yang diterima pada setiap tahun.”


Sementara itu, Chan berkata semakan semula dan peningkatan geran khas kepada Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan merupakan salah satu perkara penting yang dicadang oleh Pakatan Harapan (PH), tetapi ditolak mentah-mentah oleh kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.


“Kerajaan PH telah memulakannya semasa Bajet 2020, daripada RM26.7 juta kepada RM53.4 juta pada 2020 dan diunjurkan bahawa dalam lima tahun kemudian geran khas tersebut berganda pada 2025. Namun, usaha ini tidak diteruskan dan dilaksanakan selepas pertukaran kerajaan,” katanya semasa ucapan perbahasannya di Dewan Rakyat, hari ini.


"Saya menyeru, selaras dengan aspirasi pindaan perlembagaan Artikel 1(2) dan Artikel 160(2), sila buat pindaan terhadap bayaran geran khas kepada Sabah dalam Bajet 2022," ujar Chan.

bottom of page