Balai Bomba dan Penyelamat baharu dibina di Kampung Gum-Gum
- nabalunews
- 8 hours ago
- 2 min read

27 Ogos 2025
SANDAKAN: Sebuah Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) baharu akan dibina di Kampung Gum-Gum, Batu 16, dan menjadikannya BBP kedua di daerah ini selepas yang sedia ada di Batu 3, di sini.
Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah mengenal pasti tapak cadangan dan kini menunggu status hak milik tanah daripada Jabatan Tanah dan Ukur Negeri Sabah sebelum projek ini dimajukan.
Katanya, cadangan pembangunan tersebut juga telah di angkat ke Kementerian Ekonomi pada 15 Mei lalu untuk pertimbangan kelulusan dalam Rolling Plan Satu (RP1) Tahun 2026 di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
“Balai bomba baharu itu sangat penting bagi keperluan semasa dimana balai sedia ada di daerah Sandakan kini menampung keperluan bagi tiga kawasan parlimen yang luas.
“Pengwujudan balai bomba baharu itu juga kelak akan membantu dalam perkhidmatan bomba dan beroperasi dengan kapasiti yang optimum.
“Ia turut akan memperkukuh kesiapsiagaan anggota bomba dalam menangani sebarang kecemasan serta memastikan keselamatan rakyat lebih terjamin,” katanya.
Suhaimi berkata demikian selepas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menjawab isu perbahasan bagi RMK-13 di Dewan Rakyat.
Dalam perkembangan berkaitan, Suhaimi juga menyentuh mengenai kebajikan anggota bomba yang berdepan risiko tinggi semasa bertugas.
Beliau menyarankan agar kerajaan meneliti pemberian elaun tambahan yang setimpal sebagai pengiktirafan terhadap pengorbanan mereka.
Menjawab isu itu, KPKT memaklumkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah meluluskan beberapa penambahbaikan elaun melibatkan anggota bomba dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini termasuk Bayaran Insentif Ketukangan, Bayaran Insentif Pengendali Anjing Terlatih serta Bayaran Insentif Menyelam.
Suhaimi menyatakan beliau gembira kerana isu ini yang sering dibangkitkan di Dewan Rakyat mendapat perhatian serius oleh Menteri KPKT dan kerajaan.
Beliau juga menyambut baik komitmen kerajaan dalam memperkukuh kebajikan anggota bomba dan dalam masa yang sama berharap agar projek pembinaan BBP Gum-Gum dapat dilaksanakan segera demi manfaat rakyat Libaran dan Sandakan amnya.
Comments