top of page

Tanah, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Kuasa Eksklusif Kerajaan Negeri

  • nabalunews
  • 8 hours ago
  • 1 min read

ree

27 Ogos 2025


SANDAKAN: “Sabah mempunyai autonomi penuh dalam urusan tanah, perumahan dan kerajaan tempatan yang dijamin dengan jelas oleh Perlembagaan Persekutuan” kata Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee.


Beliau berkata demikian bagi mengulas pembentangan kali pertama Rang Undang-Undang Akta Pembaharuan Bandar (Urban Renewal Act, URA) di Parlimen baru-baru ini, yang menarik perhatian ramai.


Katanya, menurut Perkara 95E Perlembagaan Persekutuan, segala urusan berkaitan tanah, perumahan dan kerajaan tempatan adalah di bawah bidang kuasa eksklusif Kerajaan Negeri Sabah dan sebarang pelaksanaan dasar hanya boleh dibuat melalui keputusan kerajaan negeri.


“Tujuan utama URA adalah untuk memacu pembangunan semula dan pembaharuan bandar-bandar lama di Semenanjung Malaysia.


“Ia bukannya memberi kuasa tanpa had kepada kerajaan atau pemaju untuk mengambilalih tanah atau hartanah penduduk,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Menurutnya, berdasarkan kandungan rang undang-undang itu, bagi bangunan yang berusia kurang daripada 30 tahun, pelan pembaharuan bandar hanya boleh dilaksanakan sekiranya mendapat persetujuan sekurang-kurangnya 80 peratus daripada pemilik.


“Bagi bangunan yang berusia lebih 30 tahun pula, pelaksanaan pelan memerlukan persetujuan 75 peratus pemilik.


“Manakala bagi bangunan yang diiktiraf sebagai terbengkalai atau rosak teruk melalui laporan jurutera bertauliah, paras persetujuan boleh direndahkan kepada 51 peratus sebelum sebarang proses pembaharuan atau pengambilan balik dilaksanakan,” katanya.


Vivian menegaskan, Sabah tidak termasuk dalam lingkungan kuasa rang undang-undang ini, oleh itu, orang ramai khususnya di Sabah tidak perlu bimbang.


Namun katanya, orang ramai dinasihatkan supaya kekal peka dan mendapatkan maklumat lengkap agar dapat melindungi kepentingan masing-masing sekiranya dasar berkaitan dibincangkan pada masa hadapan.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page