top of page

Tidak ramai pegawai perubatan pilih ditempatkan di Sabah, Sarawak

  • nabalunews
  • 8 hours ago
  • 2 min read

ree

27 Ogos 2025


KUALA LUMPUR: Tidak ramai pegawai perubatan memilih untuk ditempatkan secara tetap di fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM) di Sabah dan Sarawak.


Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata di Sarawak sebagai contoh, hanya tujuh pegawai perubatan memilih ditempatkan secara tetap.


Manakala di Sabah katanya, hanya 15 pegawai perubatan bersetuju meskipun jawatan tetap di kedua-dua negeri itu menghampiri 1,000 jawatan.


“Kita ingin memastikan jawatan itu (di Sabah dan Sarawak) diisi walaupun tidak secara maksimum tapi sekurang-kurangnya jawatan tetap ditawarkan kepada pegawai perubatan itu diambil diterima dan mohon datang melapor diri.


“Rayuan itu boleh datang kemudian untuk kembali ke stesen pilihan,” katanya menjawab soalan tambahan Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh), pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pada Rabu.


Lukanisman berkata, buat masa ini, KKM tidak dapat mengguna pakai penempatan pegawai perubatan mengikut cita rasa mereka.


Bagaimanapun katanya, mereka diberi tiga pilihan menerusi ePlacement 2.0 dengan pilihan ketiga adalah mandatori Sabah dan Sarawak.


Dalam pada itu, beliau berkata seramai 13,902 pegawai perubatan kontrak sudah ditawar lantikan tetap sejak 2023, iaitu melebihi 8.6 peratus sasaran asal 12,800 orang.


“Dalam usaha meningkatkan pegawai perubatan dan jururawat di hospital KKM, beberapa inisiatif sudah dan sedang dilaksanakan antaranya menyegerakan pengisian 4,352 pegawai perubatan lantikan tetap secara berfasa.


“Pegawai perubatan ini akan melapor diri seawal 2 Oktober ke fasiliti kesihatan KKM di seluruh negara dan dijangka selesai akhir Oktober ini,” katanya.


Selain itu katanya, KKM turut mengadakan sesi libat urus di Institut Pengajian Tinggi (IPT) awam dan swasta bagi menarik bakal graduan perubatan berkhidmat di sektor kesihatan awam.


Sementara itu katanya, dasar KKM tidak menghalang jururawat untuk berhijrah ke luar negara, memandangkan kerajaan melihat ke arah pertimbangan peluang untuk mereka meningkatkan pendapatan.


“Kita juga merasakan bekalan jururawat ketika ini mencukupi,” katanya.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page