Bank Negara kekalkan OPR pada 2.75 peratus
- nabalunews
- 4h
- 2 min read

22 Januari 2026
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus.
BNM dalam kenyataannya berkata, pada tahap OPR semasa, MPC berpendapat bahawa pendirian dasar monetari adalah wajar dan memberikan sokongan terhadap ekonomi dalam keadaan harga yang stabil.
Menurut bank pusat itu, pertumbuhan ekonomi Malaysia pada 2025 dijangka berada sekitar paras atas julat unjuran dengan momentum pertumbuhan itu diramal berterusan pada 2026, disokong oleh permintaan dalam negeri yang berdaya tahan.
“Guna tenaga, pertumbuhan upah serta langkah-langkah dasar berkaitan pendapatan akan kekal menyokong perbelanjaan isi rumah.
"Aktiviti pelaburan akan didorong oleh kemajuan projek berbilang tahun yang dilaksanakan dalam sektor swasta dan awam, pelaksanaan projek awam baharu berskala kecil, lebih banyak pelaksanaan berterusan pelaburan yang telah diluluskan, serta pelan induk nasional yang terus dilaksanakan.
“Sektor luaran akan mendapat manfaat daripada eksport elektrik dan elektronik (E&E) yang terus kukuh serta perbelanjaan pelancong yang lebih tinggi,” katanya.
BNM berkata, prospek pertumbuhan kekal bergantung kepada ketidakpastian, khususnya berhubung perkembangan global termasuk perdagangan global yang lebih perlahan dan pengeluaran komoditi lebih rendah daripada jangkaan.
Manakala, potensi untuk pertumbuhan menjadi pesat disumbangkan oleh prospek pertumbuhan global yang lebih baik, permintaan terhadap barangan elektrik dan elektronik (E&E) yang lebih kukuh dan aktiviti pelancongan yang lebih giat.
BNM turut memaklumkan inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing diunjurkan berpurata 1.4 peratus dan 2 peratus pada 2025.
Bagi 2026, katanya inflasi keseluruhan dijangka kekal sederhana susulan kos global yang terus reda, manakala inflasi teras dijangka stabil dan hampir dengan purata jangka panjang, mencerminkan pengembangan kegiatan ekonomi serta ketiadaan tekanan permintaan yang berlebihan.
“MPC akan terus memantau perkembangan semasa dan menilai imbangan risiko berhubung dengan prospek pertumbuhan dan inflasi dalam negeri,” kata bank pusat itu.


















Comments