Bank Rakyat beri nilai tambah kepada anggota menerusi Pembiayaan Peribadi-i DivA
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Bank Rakyat beri nilai tambah menerusi Pembiayaan Peribadi-i DivA, Pelaburan-i Rizq Plus

Ewon (dua dari kiri) bersama Saraswathy (kiri), Mohd Irwan (dua dari kanan) dan Mohammad Hanis (kanan) ketika merasmikan mesyuarat agung tahunan Bank Rakyat.

10 Jun 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Bank Rakyat kembali menawarkan Pembiayaan Peribadi-i DivA dan Akaun Pelaburan-i Rizq Plus sebagai penghargaan dan nilai tambah baharu kepada anggotanya.


Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, inisiatif itu bagi memastikan anggota Bank Rakyat dapat menikmati pelbagai manfaat menerusi penyediaan kemudahan produk dan perkhidmatan yang direka khusus untuk anggota, selain manfaat pembayaran dividen serta kadar keuntungan yang lebih rendah.


“Saya percaya keprihatinan Bank Rakyat ini selari dengan nilai Malaysia Madani yang mengutamakan kesejahteraan dan kemakmuran masyarakat Malaysia secara menyeluruh, sekali gus menunjukkan komitmen dan ihsan Bank Rakyat dalam memastikan kebajikan dan kemakmuran ekonomi anggotanya terus dipelihara,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Bank Rakyat 2023 yang menghimpunkan 902 perwakilan individu dan koperasi di seluruh negara, di Menara Bank Rakyat, di sini, hari ini.


Sementara itu, Pemangku Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak berkata, pelancaran inisiatif terbaharu ini merupakan langkah proaktif Bank dalam menawarkan perkhidmatan kewangan yang komprehensif bagi menghargai kesetiaan dan keyakinan anggota terhadap Bank Rakyat.


“Besarlah harapan kami agar anggota memberi sokongan dengan melanggan kesemua produk Bank bagi membolehkan kita mencatatkan keuntungan yang lebih memberangsangkan pada tahun ini,” katanya.


Pembiayaan Peribadi-i DivA yang bakal ditawarkan nanti menawarkan kadar keuntungan tetap serendah 2.99 peratus dengan jumlah maksimum pembiayaan sehingga RM400,000 dengan tempoh pembiayaan sehingga 10 tahun.


Tawaran ini juga membolehkan anggota menikmati ansuran bulanan lebih rendah yang mana dividen tahunan dijadikan sebagai ansuran pembiayaan.

“Pembiayaan ini dapat membantu anggota mengurangkan beban aliran tunai mereka dan mampu membuat simpanan serta mempunyai lebihan tunai untuk tujuan pelaburan dan sebagainya,” katanya.


Menerusi Akaun Pelaburan-i Rizq Plus pula, Bank Rakyat menawarkan cabutan khas berjumlah RM69,000 untuk dimenangi 69 pemenang sempena ulang tahun Bank Rakyat ke-69 tahun ini. Kempen ini akan berlangsung mulai hari ini (10 Jun) sehingga 31 Disember ini.


Selain berpeluang memenangi cabutan hadiah kempen untuk anggota, anggota turut berpeluang menyertai cabutan Akaun Pelaburan-i Rizq Plus bersama-sama pelanggan lain yang dilaksanakan setiap bulan dengan tawaran hadiah keseluruhan berjumlah RM1 juta dan cabutan istimewa hadiah setengah tahun berjumlah RM100,000.

bottom of page