nabalunews
Bayaran akhir Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2024 bermula esok, RM3.4 bilion diperuntukkan
6 November 2024
KUALA LUMPUR: Pembayaran akhir bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2024, melibatkan 8.7 juta penerima mengikut kategori kelayakan masing-masing, akan dilaksanakan secara berperingkat mulai esok.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pembayaran terakhir STR akan melibatkan peruntukan sebanyak RM3.4 bilion.
“Pada masa yang sama, Kerajaan Madani akan menyalurkan bantuan tunai tambahan ‘one-off’ Sumbangan Asas Rahmah (Sara) kepada 8 juta penerima STR yang bukan daripada kumpulan miskin dan miskin tegar mengikut kaedah pembayaran STR mulai 9 Disember 2024,” menurut kenyataan tersebut, lapor Kosmo.
Manakala, baki 700,000 penerima STR daripada kumpulan miskin dan miskin tegar akan terus menerima manfaat bantuan Sara sepanjang tahun.
“Dengan penambahan bantuan tunai itu, isi rumah berkelayakan akan menerima sehingga RM1,000 untuk pembayaran akhir STR bagi tahun ini dan ia selaras dengan keprihatinan kerajaan dalam mengutamakan kesejahteraan rakyat,” tambah MOF.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2025 mengumumkan kerajaan akan menambah baik STR dan Sara 2025 dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM13 bilion.
Comments