Bayaran STR Fasa 4 diawalkan, penerima terima agihan mulai esok
- nabalunews
- Oct 18
- 2 min read

17 Oktober 2025
PUTRAJAYA: Seramai 8.8 juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) akan menerima bayaran STR 2025 Fasa 4 bermula esok, lebih awal berbanding jadual asal pada pertengahan November ini sempena sambutan Deepavali.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah mempercepatkan pembayaran itu selaras dengan komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan bantuan kewangan sampai kepada rakyat tepat pada masanya.
“Tekad Kerajaan MADANI adalah untuk memastikan bantuan yang melibatkan agihan limpahan negara ini dapat dimanfaatkan oleh segenap lapisan rakyat Malaysia.

“Diharapkan penyaluran Fasa 4 STR 2025 ini sedikit sebanyak dapat memberi kelegaan kewangan menjelang sambutan Deepavali,” katanya yang juga Menteri Kewangan dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan yang sama memaklumkan, sebanyak RM2 bilion diperuntukkan bagi pembayaran fasa ini dengan kadar antara RM100 hingga RM700 bergantung kepada kategori penerima.
Jumlah tersebut turut merangkumi 200,000 pemohon baharu yang telah diluluskan bagi bayaran STR Fasa 4, dengan penyaluran dijadualkan bermula pada 13 Nov ini.

Berbanding Fasa 1 pada Januari 2025, katanya jumlah penerima Fasa 4 meningkat sebanyak 500,000 individu dan isi rumah susulan keputusan Kerajaan MADANI untuk membuka permohonan baharu dan rayuan sepanjang tahun.
“Kerajaan akan terus membuka pendaftaran STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) 2026 sepanjang tahun agar lebih ramai rakyat berpeluang mendapat manfaat daripada bantuan kerajaan.
“Seperti diumumkan Perdana Menteri ketika pembentangan Belanjawan 2026 pada 10 Oktober lalu peruntukan keseluruhan STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) mencecah RM15 bilion bagi tahun depan,” menurut kenyataan itu lagi.
Kementerian itu memaklumkan bagi penerima sedia ada, data mereka akan dibawa secara automatik ke dalam pangkalan data Kerajaan bersama data daripada agensi-agensi berkaitan untuk semakan kelayakan STR dan SARA 2026 mengikut syarat yang ditetapkan.
Pendekatan itu juga dijangka mengurangkan risiko keciciran serta memastikan bantuan terus sampai kepada golongan sasar.
Pemohon STR boleh merujuk Soalan Lazim (FAQ) di Portal Rasmi STR melalui pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my bagi mendapatkan maklumat lanjut manakala semakan status pembayaran dan kelulusan STR boleh dibuat melalui pautan sama.
MOF turut mengingatkan penerima STR agar sentiasa berwaspada terhadap pautan tidak sahih dan cubaan penipuan oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi mendapatkan maklumat berkaitan program STR.


















Comments