top of page
Wartawan Nabalu News

Bekalan ayam di seluruh negara mencukupi, peniaga diminta patuhi harga siling – Salahuddin


27 Mac 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


JOHOR BAHRU: Rakyat tidak perlu bimbang mengenai bekalan ayam mentah di seluruh negara yang masih dijangka mencukupi sehingga menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri akhir bulan depan.


Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata data rasmi menunjukkan bekalan cukup sehingga tempoh perayaan akan datang.


Beliau sekaligus membidas dakwaan segelintir peniaga yang menaikkan harga ayam dengan alasan bekalan tidak mencukupi.


"Saya telah mendapat maklumat terperinci pada daripada Jabatan Veterinar, setelah KPDN berkongsi maklumat dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS).


“Secara rasminya data menunjukkan bekalan cukup sehingga hari raya ini,” katanya kepada pemberita selepas mengedarkan kurma pada pengunjung dan peniaga Bazar Ramadan Taman Perling, di sini, kelmarin.


Beliau berkata sekiranya ada masalah bekalan di tempat-tempat tertentu, rakyat dan peniaga boleh melaporkan perkara itu kepada KPDN untuk tindakan segera.


“Kerana kita bimbang (kalau ada) isu tempatan atau tempat-tempat tertentu, itu tidaklah menggambarkan tentang isu sebenarnya. Kadang-kadang, ada masalah di antara pembekal dengan peruncit, mungkin akibat daripada mereka lambat bayar ataupun bekalan tidak cukup,” katanya.


Beliau juga menasihatkan peniaga-peniaga supaya mematuhi harga kawalan atau harga siling bagi ayam iaitu RM9.40 sekilogram yang ditetapkan oleh kerajaan.


“Sekiranya mereka berhadapan dengan bekalan ataupun memerlukan bantuan daripada KPDN, kita sedia membantu,” katanya.


Media pada Ahad melaporkan terdapat kekurangan bekalan ayam segar hampir 30 peratus di pasaran, menyebabkan kenaikan harga ayam tidak dapat dielakkan, dengan harga ayam di peringkat runcit dilaporkan naik kepada RM11 sekilogram sejak awal Ramadan dan dijangkakan terus meningkat sehingga RM11.50 dalam tempoh terdekat.

Comments


bottom of page