Belanjawan 2023 akan utamakan pertumbuhan, pengagihan saksama dan keadilan sosial
4 Februari 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Belanjawan 2023 yang dijadual dibentangkan di Parlimen pada 24 Februari akan mencerminkan pertanggungjawaban Kerajaan Perpaduan yang mengutamakan pertumbuhan, pengagihan saksama dan keadilan sosial.
Pejabat Perdana Menteri melalui satu kenyataan berkata, ini adalah selaras dengan konsep pembangunan Malaysia MADANI agar kemajuan ekonomi memanfaatkan segenap lapisan masyarakat.
"Kerajaan akan mengekalkan dasar fiskal mengembang untuk menyokong pertumbuhan ekonomi. Kerajaan juga komited untuk melaksanakan langkah mengurangkan defisit secara berperingkat serta memastikan nisbah hutang dan liabiliti Kerajaan berbanding KDNK terkawal.
"Langkah ini akan dilaksanakan walaupun Kerajaan mewarisi beban hutang yang tinggi dan ekonomi berhadapan ketidaktentuan prospek ekonomi global," kata kenyataan itu.
Pada tahun 2022, hutang dan liabiliti Kerajaan hampir menjangkau RM1.5 trilion atau lebih 80 peratus daripada KDNK dengan nisbah khidmat hutang dijangka akan melebihi 15% daripada hasil.
Pertumbuhan global juga dijangka menyederhana pada tahun 2023. Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberi amaran bahawa prospek ekonomi dunia bakal merosot dengan kebanyakan negara dijangka mengalami kemelesetan ekonomi.
Belanjawan 2023 akan turut merangkumi langkah-langkah menggalakkan pelaburan sektor swasta dan reformasi sektor awam yang bertujuan untuk mengurangkan birokrasi, meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan serta menambah baik tatakeloka Kerajaan.
Belanjawan ini juga akan meningkatkan perbelanjaan pembangunan bagi menggalakkan pembangunan yang inklusif terutamanya melalui pemerkasaan perkhidmatan Kerajaan dan infrastruktur luar bandar.
Jawatankuasa Dasar Fiskal (FPC) yang bersidang buat kali pertama pada tahun ini juga menekankan bahawa Kerajaan akan mengambil pendekatan bertanggungjawab dalam merangka Belanjawan 2023 yang akan mengutamakan pemacuan pertumbuhan ekonomi yang berhemat dan pembangunan saksama berpaksikan keadilan sosial untuk rakyat Malaysia.
Jawatankuasa itu bertujuan meneliti fiskal Kerajaan dan perkembangan ekonomi negara dalam jangka masa sederhana.
FPC dianggotai oleh Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Datuk Sri Haji Fadillah Haji Yusof, Menteri Ekonomi Mohd Rafizi Ramli, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Datuk Seri Mohd Zuki Ali, Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi Datuk Nor Azmie Diron, Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus dan dihadiri pengurusan tertinggi Kementerian Kewangan.
Comments