top of page
Wartawan Nabalu News

Belanjawan 2025: Projek Pembangunan Premis Tamu Desa di Sabah dan Sarawak akan diteruskan tahun depan


20 Oktober 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, penyediaan peruntukan khusus untuk Projek Pembangunan Premis Tamu Desa dalam Belanjawan 2025 akan membolehkan lebih banyak Tamu Desa dibina dan dinaiktaraf di Sabah dan Sarawak.


Beliau berkata, kementeriannya terus komited menjayakan inisiatif kerajaan itu bagi membantu lebih ramai penjaja dan peniaga kecil-kecilan khususnya di kawasan luar bandar menerima manfaat daripada kemudahan itu.


“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Menteri Kewangan kerana terus menyalurkan peruntukan pelaksanaan Tamu Desa tahun depan dalam Belanjawan 2025.


“Penyediaan peruntukan Program Pembangunan Premis Tamu Desa iaitu inisiatif baharu Kerajaan Madani yang dilaksanakan oleh kementerian saya bermula tahun ini membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap keperluan para penjaja dan peniaga kecil-kecilan di Sabah dan Sarawak,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Pembudayaan Komuniti Berkoperasi Zon Kelawat dan Perasmian Premis Tamu Desa Kg.Sumbilingon Kadamaian, di sini, hari ini.


Ewon berkata, bangunan Premis Tamu Desa Kg.Sumbilingon mengandungi bangunan utama iaitu deretan gerai dan dewan terbuka yang digunakan oleh komuniti sebagai Tamu Mingguan.


“Ini adalah sebahagian daripada 53 premis Tamu Desa yang kita laksanakan di seluruh Sabah tahun ini untuk Fasa 1 dan 2.


“Manakala bagi Sarawak pula sejumlah 33 premis Tamu Desa akan dilaksanakan tahun ini iaitu 13 premis untuk fasa 1 dan sebanyak 20 premis Tamu Desa setakat ini untuk fasa 2,” katanya.


Ewon mengalu-alukan para pemimpin masyarakat, persatuan atau penjaja supaya mengemukkakan permohonan di kawasan masing-masing.


Dalam Belanjawan 2024, KUSKOP diperuntukkan RM20 juta bagi pelaksanaan premis projek Tamu Desa termasuk RM1 juta daripadanya disalurkan kepada persatuan-persatuan penjaja.


Dalam hal ini, KUSKOP bersama-sama Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Negeri Sarawak telah melaksanakan program Tamu Desa di kedua-dua negeri itu bermula tahun ini.


Mengenai Program Pembudayaan Komuniti Berkoperasi, Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berharap masyarakat terus memilih koperasi sebagai medium perniagaan secara berkumpulan.


Katanya, ini penting kerana melalui koperasi, masyarakat boleh meningkatkan kekuatan dari segi kewangan, modal insan selain mengukuhkan permuafakatan di antara anggota untuk pembangunan ekonomi dan sosial masyarakat.


“Penglibatan masyarakat dalam koperasi juga membantu melahirkan lebih ramai usahawan berkemahiran untuk membina perniagaan yang sistematik seterusnya meluaskan rangkaian perniagaan bukan setakat dalam negara tetapi luar negara,” katanya.


Pada majlis itu turut diadakan Jualan Madani Koperasi dan Usahawan (JMKU) dengan potongan harga 20 peratus, dalam usaha membantu masyarakat B40 menikmati barangan pengguna pada harga yang lebih murah.


Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Datuk Rusli Jaafar, Pegawai Daerah Kota Belud Peter Jiton, Pengarah SKM Sabah Efendee OP Andu, Setiausaha Bahagian, Bahagian Pembangunan Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil KUSKOP Azizul Alias dan ketua-ketua agensi serta pegawai-pegawai kanan KUSKOP.

Comments


bottom of page