Belanjawan 2026 Fokus Kebajikan, Perlindungan Sosial dan Peningkatan Kemahiran Pekerja – KESUMA
- nabalunews
- Oct 11
- 2 min read

11 Oktober 2025
KUALA LUMPUR: Belanjawan 2026 memberi tumpuan kepada perlindungan sosial, peningkatan kemahiran dan kesejahteraan tenaga kerja negara selaras moto 3K Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), iaitu Kebajikan, Kemahiran dan Keberhasilan.
Dalam kenyataan pada Sabtu, KESUMA memaklumkan akan menerima peruntukan sebanyak RM1.828 bilion bagi melaksanakan pelbagai inisiatif memperkasa rakyat dan pasaran kerja.
"Menerusi Belanjawan 2026, kerajaan MADANI bersetuju menanggung 70 peratus caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) bagi pekerja gig di sektor yang belum dimandatorikan agar kebajikan mereka kekal dilindungi.
"Selain itu, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan melengkapkan empat Pusat Rehabilitasi di Melaka, Perak, Terengganu dan Pulau Pinang, yang masing-masing mempunyai kapasiti 250 katil untuk membantu pekerja yang cedera pulih dan kembali bekerja" menurut kenyataan itu.
Kementerian itu memaklumkan, PERKESO turut menyediakan insentif mobiliti sehingga RM1,000 kepada pencari kerja termasuk graduan baharu yang perlu berpindah untuk menerima tawaran pekerjaan bagi meringankan beban mereka.
Dalam pada itu, kadar maksimum bantuan rawatan hemodialisis juga dinaikkan daripada RM150 kepada RM170, melibatkan tambahan kos RM52 juta setahun, selain Program Saringan Kesihatan PERKESO diperluas kepada pemandu pengangkutan awam dan barangan.
Bagi meningkatkan kemahiran tenaga kerja, kerajaan memperkukuh Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai teras ekonomi baharu Malaysia dengan peruntukan RM7.9 bilion.
Sementara itu, menurut KESUMA, RM3 bilion daripada levi HRD Corp akan menawarkan tiga juta peluang latihan dalam sektor teknologi serta tenaga baharu.
"Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) mendapat peruntukan RM650 juta untuk membiayai lebih 25,000 pelatih dalam bidang strategik seperti kecerdasan buatan (AI), kenderaan elektrik (EV) dan semikonduktor.
"Selain itu, program Akademi Dalam Industri (ADI) di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) diberi RM34 juta untuk melatih pekerja tempatan sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing berkemahiran rendah," tambah kenyataan itu.
Menurut KESUMA, peruntukan RM10 juta turut disediakan bagi latihan pemandu teksi yang membolehkan mereka meningkatkan kemahiran dan mutu perkhidmatan.
Pada masa sama, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang melabur dalam latihan AI dan keselamatan siber akan menikmati potongan cukai tambahan 50 peratus bagi menggalakkan pelaburan dalam kemahiran masa depan.
KESUMA memaklumkan pasaran buruh negara terus positif apabila kadar pengangguran menurun kepada tiga peratus, terendah dalam tempoh sedekad, manakala kadar penyertaan tenaga kerja meningkat kepada 70.8 peratus, selain penyertaan wanita dalam pasaran kerja terus meningkat melebihi 56 peratus.
“Belanjawan 2026 bukan sekadar angka dan peruntukan, tetapi mencerminkan falsafah KESUMA untuk membina tenaga kerja Malaysia yang sejahtera, berkemahiran tinggi dan produktif, seiring aspirasi Kerajaan MADANI demi kemakmuran rakyat dan negara,” menurut kenyataan itu.


















Comments