top of page

Belanjawan 2026: Sabah, Sarawak terima peruntukan tertinggi

  • nabalunews
  • 16 hours ago
  • 1 min read

ree

10 Oktober 2025


KUALA LUMPUR: Sarawak dan Sabah masing-masing menerima peruntukan tertinggi dalam Belanjawan 2026 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan pembangunan Sabah meningkat kepada RM6.9 bilion berbanding RM4.4 bilion pada 2022 manakala Sarawak meningkat kepada RM6 bilion berbanding RM2.9 bilion pada tahun sama.


Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan kadar pemberian khas kepada Sabah dan Sarawak masing-masing dinaikkan kepada RM600 juta mulai tahun ini berbanding RM300 juta ringgit pada 2023.


“Peningkatan ini sebagai sebahagian tekad kerajaan Madani memastikan kepesatan pembangunan di kedua-dua negeri bagi menyemangati Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).


"Ini bukan sekadar janji, tetapi tindakan nyata untuk merapatkan jurang pembangunan terutamanya prasarana asas," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat pada Jumaat.


Anwar berkata, Kerajaan Persekutuan turut memperuntukkan RM1.2 bilion bagi menjamin kelangsungan bekalan elektrik di Sabah, meskipun kawal selia bekalan tenaga telah diserahkan sepenuhnya kepada kerajaan negeri sejak Januari tahun lalu.


Menurutnya, antara cabaran besar yang dihadapi ialah insiden tanah runtuh di Penampang yang memutuskan dua talian utama penghantaran elektrik voltan tinggi, menyebabkan gangguan bekalan kepada 230,000 pengguna di pantai timur Sabah.


“Langkah segera diambil bagi memulihkan bekalan. Untuk kelangsungan jangka panjang, Kerajaan Persekutuan turut menyediakan pembiayaan RM765 juta bagi Projek Talian Penghantaran Southern Link,” jelasnya.


Selain itu, katanya, sejak tahun 2024, Kerajaan Persekutuan menyalurkan RM1 bilion bagi projek air di Sabah yang meliputi pemasangan paip di Tawau serta naik taraf paip usang di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan.


Beliau berkata projek berkenaan kini dalam fasa pelaksanaan dan dijangka siap menjelang 2026.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page