Berani tampil jika jadi mangsa buli
- nabalunews
- 29 minutes ago
- 1 min read

11 Ogos 2025
TAWAU: Timbalan Pengarah Politeknik Tawau Sabah (PTS), Helen Lau @ Abd Kadir menyeru warga institusi itu agar berani tampil ke hadapan sekiranya menjadi mangsa buli atau menghadapi gangguan emosi disebabkan pelajar lain.
Menurutnya, pihaknya amat menitik-beratkan kesihatan emosi dalam kalangan pelajar, selain aspek kesihatan fizikal.
“PTS terus komited dalam memastikan kesihatan warga institusi sama ada pelajar mahupun kakitangan terus berada dalam keadaan baik, dari segi emosi mahupun fizikal,”katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada program Hari Pemeriksaan Kesihatan 2025, anjuran Unit Hal Ehwal Pelajar PTS di institusi itu, semalam.
Program itu dianjurkan pihaknya dengan kerjasama Klinik Pergigian Tawau, Klinik Kesihatan Apas-Balung dan Unit Tabung Derma Darah Hospital Tawau yang dirasmikan Timbalan Pegawai Kesihatan Kawasan Tawau, Dr. Srinivasan a/l Subramaniam.
Helen berkata, program tersebut berjaya memberi manfaat kepada lebih 400 orang warga PTS yang berpeluang melakukan pemeriksaan dan rawatan gigi, pemeriksaan kesihatan umum dan derma darah.
Beliau berharap program tersebut dapat diteruskan pada masa akan datang bagi mengukuhkan lagi kerjasama di antara PTS dan agensi-agensi terlibat, sekaligus dapat memenuhi Program Siswa Sihat(PROSIS) di PTS.
Sementara itu, Dr. Srinivasan berkata, pihaknya amat menyambut baik penganjuran program tersebut dalam usaha memperkasa sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera-Health Promotions in Learning Institutions (BMSS-HePiLI) yang merupakan salah satu inisiatif di bawah Agenda Nasional Malaysia Sihat(ANMS).
Beliau turut mengingatkan warga PTS, khususnya pelajar supaya lebih peka terhadap kesihatan mental dan fizikal bagi membolehkan mereka kekal aktif dalam melaksanakan tugasan harian.