top of page

Laksanakan Siasatan Menyeluruh dan Telus: Istana Seri Kinabalu

  • nabalunews
  • 5 minutes ago
  • 2 min read

ree

11 Ogos 2025


KOTA KINABALU: Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman mengarahkan pihak berkuasa yang berkaitan untuk menjalankan siasatan menyeluruh dan telus berhubung kematian tragis Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.


Dalam kenyataan yang dikeluarkan Istana Seri Kinabalu menegaskan, siasatan mestilah dilaksanakan dengan penuh ketelitian, tanpa rasa takut atau pilih kasih, berlandaskan kepada kebenaran dan keadilan.


Katanya, setiap aspek mesti disiasat sepenuhnya demi menuntut keadilan dan ia bukanlah satu bentuk pembalasan.


“Ia adalah suatu perintah Allah SWT untuk melindungi yang lemah dan menghukum mereka yang bersalah.


“Pada masa yang sama, pihak Istana menyeru orang ramai terutamanya pengguna media sosial supaya tidak sebarang spekulasi dan menyebarkan tuduhan tidak menggalakkan teori konspirasi berhubung kes ini.


“Tindakan sedemikian bukan sahaja boleh menggugat integriti siasatan malah boleh menyebabkan kesedihan yang lebih mendalam kepada keluarga Zara yang sedang berduka,” katanya.


Sehubungan itu, pihak Istana turut menyeru agar semua pihak memberi ruang kepada proses undang-undang untuk berjalan dengan adil, serta berdiri seiring dengan keluarga Zara dalam mencari jawapan dan penyelesaian kes ini.


“Tuan Yang Terutama Tun dan Toh Puan bersama seluruh rakyat di negara ini, merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga Zara.


“Semoga keluarga Zara diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi dugaan yang amat berat ini,” katanya.


Sementara itu, Istana Seri Kinabalu menyatakan, satu Majlis Tahlil dan Doa Peringkat Negeri khusus untuk Allahyarhamah Zara akan diadakan pada hari Khamis, 14 Ogos ini selepas solat maghrib di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu.


“Majlis sama akan turut diadakan secara serentak di semua masjid dan surau di seluruh negeri pada tarikh berkenaan.


“Tuan Yang Terutama Tun menggalakkan umat islam untuk hadir bersama-sama di majlis tersebut dan juga mengalakkan mereka yang bukan beragama islam berdoa untuk Zara mengikut kepercayaan masing-masing.


“Keselamatan dan kebajikan anak-anak kita mestilah sentiasa menjadi keutamaan kita semua,” katanya.


Istana Seri Kinabalu memberitahu, Yang di-Pertua Negeri turut mendoakan semoga Allah SWT menempatkan Allahyarhamah Zara dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh.


Katanya, Tun turut mendoakam agar semua pihak diberikan kekuatan untuk melindungi anak masing-masing bagi mengelakkan berulangnya tragedi seperti itu pada masa hadapan.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page