Kes Zara Qairina: KPM tidak lindungi mana-mana pihak
- nabalunews
- 18 minutes ago
- 1 min read

11 Ogos 2025
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) mengulangi ketegasan tidak akan berkompromi dan melindungi mana-mana pihak dalam sebarang isu berkaitan kes buli mahupun salah laku disiplin, termasuk melibatkan kes kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk melakukan siasatan ke atas kes berkenaan.
Katanya, KPM juga telah dan sentiasa bersedia bekerjasama dengan pihak polis khususnya dalam memberi bantuan bagi siasatan yang sedang dijalankan.
"KPM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana isu yang berkaitan dengan isu buli. KPM tidak pernah dan tidak akan melindungi sesiapa pun.
“Saya nak maklumkan mengenai semua kes di sekolah sama ada berkaitan disiplin atau buli. Pihak KPM ada garis panduan yang berkuat kuasa dari semasa ke semasa,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (WARISAN-Semporna) yang menyuarakan kebimbangan mengenai peningkatan kes buli di sekolah, termasuk melibatkan kes Zara Qairina susulan pelbagai spekulasi telah timbul.
Kes berkenaan mendapat liputan meluas dan mengundang pelbagai reaksi.
Jumaat lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan mayat Zara Qairina perlu digali semula bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan terhadap jenazah pelajar berkenaan.
AGC berpendapat ada keperluan untuk siasatan lanjut dibuat oleh polis demi memastikan segala aspek siasatan dapat dilaksanakan dengan menyeluruh.
Pada Ahad, proses bedah siasat jasad Zara Qairina selesai selepas kira-kira lapan jam prosedur itu dijalankan.
Zara Qairina, 13, ditemui tidak sedarkan diri di bangunan asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datuk Mustapha di Papar pada 16 Julai dan disahkan meninggal keesokannya di Hospital Queen Elizabeth (HQE).
Comments