Malaysia, Senegal perkukuh kerjasama dua hala
- nabalunews
- 12 minutes ago
- 1 min read

11 Ogos 2025
PUTRAJAYA: Malaysia dan Senegal berusaha memperkukuh kerjasama dua hala, khususnya dalam bidang perdagangan, pelaburan, haji, wakaf dan industri halal yang mempunyai potensi besar untuk dimajukan bersama.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerjasama sektor berkenaan adalah antara topik utama yang dibincangkan semasa kunjungan hormat Menteri Integrasi Afrika dan Hal Ehwal Luar Senegal, Yassine Fall, hari ini.
“Kami juga bertukar pandangan mengenai pelbagai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi perhatian bersama, termasuk perkembangan di Timur Tengah dan benua Afrika,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Dalam perkembangan sama, Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan Fall berada di Malaysia untuk lawatan rasmi dua hari bermula hari ini, sebagai timbal balas kepada lawatan rasmi Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan ke Senegal tahun lalu.
Fall turut dijadualkan bertemu Mohamad Hasan bagi menilai kemajuan kerjasama dua hala bagi memperkukuh kolaborasi dalm bidang utama termasuk perdagangan dan pelaburan, pendidikan, kesihatan, industri halal dan pembangunan kapasiti.
Malaysia dan Senegal menjalinkan hubungan diplomatik sejak 1986 dan terus mengekalkan hubungan konstruktif menerusi kerjasama dua hala selain pelbagai hala.
Pada 2024, jumlah dagangan Malaysia dengan Senegal bernilai RM1.37 bilion, dengan eksport Malaysia berjumlah RM1.35 bilion dan import bernilai RM14.1 juta.
Manakala bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini, jumlah dagangan direkodkan sebanyak RM789.20 juta dengan eksport Malaysia ke Senegal bernilai RM781.92 juta dan import RM7.28 juta.
Comments