Beri ruang PM urus negara dengan cara sendiri: Khaled Nordin
top of page
  • Farah Salim

Beri ruang PM urus negara dengan cara sendiri: Khaled Nordin



16 Ogos 2022

Oleh Farah Salim


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mesti diberi ruang untuk mengurus negara dengan caranya tersendiri, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.


Khaled tidak menafikan, rakyat negara ini bimbang dengan kenaikan harga barang dan inflasi yang meningkat, namun isu ini bukan berlaku di Malaysia sahaja.


“Benar rakyat gelisah dengan kenaikan harga barang dan inflasi yang meningkat. Ini bukan isu yang berlaku di Malaysia sahaja. Ia adalah fenomena global akibat dari ‘multifacated’ elemen yang di luar kawalan Kerajaan.


“Kita mesti mengiktiraf keputusan Kerajaan dalam usaha memastikan kos sara hidup tidak begitu membebankan,” katanya melalui Facebooknya.


Khaled berkata, bukan mudah bagi Kerajaan memutuskan hampir RM80 billion dibelanjakan untuk membiayai subsidi pelbagai komoditi dan barangan keperluan rakyat bagi tahun ini.


“Ia hampir sepertiga dari perolehan negara. Jumlah yang sangat besar ini bermakna kita terpaksa mengorbankan banyak keperluan pembangunan yang sangat diperlukan.


“Begitu juga keputusan beliau menghapuskan AP bagi import bahan makanan. Ia adalah langkah sangat berani dan tepat bagi mengatasi segala masalah kecukupan makanan yang kita hadapi. Apalagi bila AP seperti suatu ‘sumpahan’ yang semua orang ingin menghindari dari menyentuhnya selama ini,” katanya.


Beliau berkata, sejak Perdana Menteri Ismail Sabri mengambil alih pentadbiran, beberapa pembaharuan politik yang radikal telah beliau laksanakan.


“Penting untuk kita menghargai kejayaan beliau membenteras kecurangan politik dengan lulusnya RUU Anti Lompat Parti.

“Kejayaan ini sangat istimewa kerana setelah begitu lama, ia boleh diselesaikan dalam hanya setahun pentadbiran beliau.


“Sekarang Kerajaan beliau sedang mempercepatkan RUU Pendanaan Politik. Semua ini adalah perkara yang tidak mungkin terjadi tanpa kemahuan politik dan kepimpinan yang fokus,” katanya.


Khaled berkata, komitmen Perdana Menteri untuk memastikan laporan Jawatankuasa Khas Penyiasatan Tadbir Urus, Perolehan Kerajaan dan Kewangan mengenai perolehan enam kapal LCS di nyah klasifikasikan dan didedahkan kepada umum wajar juga diberikan pengiktirafan.


“Beliau jelas bersungguh untuk menanggani masalah LCS ini dengan telus dan mengikut lunas undang-undang.


“Kekadang, amat mudah untuk kita bersikap sinis dengan pemimpin kita. Namun janganlah sehingga menjadikan kita tidak lagi objektif dan gagal bersifat rasional,” katanya.


Beliau berkata, bukan mudah mengemudi negara dalam keadaan yang sangat mencabar.

“Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul,” katanya.

bottom of page