Marryan Razan
Bersedia hadapi PRU-15: Anwar

21 Ogos 2021 Oleh Marryan Razan KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa blok pembangkang bekerja lebih gigih bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang. Presiden Parti Keadilan Rakyat itu berkata, ini penting bagi memenangi semula mandat rakyat pada PRU yang lalu. “Buat semua pimpinan, anggota dan pendukung, kami menggesa semua untuk menerima keputusan ini dengan kecekalan yang jitu untuk bekerja lebih gigih menuju PRU-15, agar kita dapat memenangi semula mandat rakyat yang telah kita terima pada Pilihan Raya Umum yang lalu. “Dengan penuh takzimnya saya mewakili Pembangkang keseluruhannya menjunjung kasih ke atas titah DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di atas pelantikan Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri. “Kami mengambil maklum bahawa keputusan ini dibuat menurut lunas-lunas Perlembagaan, demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan yang kita amalkan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Anwar berkata, bagi pihak Pembangkang, ini adalah cabaran untuk mereka bekerja lebih gigih bagi menghadapi PRU-15. “Marilah kita sama-sama berdoa dan berusaha supaya krisis wabak COVID-19 dan ekonomi segera diatasi dan ditangani demi rakyat,” katanya.