Bersih 2.0 gesa kerajaan tubuhkan Jawatankuasa Tetap Parlimen Pilihan RayaBersih 2.0 gesa kerajaan tubuhkan Jawatankuasa Tetap Parlimen Pilihan Raya
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Bersih 2.0 gesa kerajaan tubuhkan Jawatankuasa Tetap Parlimen Pilihan Raya



13 Okt 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menggesa kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Tetap Parlimen Pilihan Raya dalam Parlimen untuk mengawal selia Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).


Menurut kenyataan media Bersih 2.0, penubuhan jawatankuasa tersebut penting bagi membincangkan pelaksanaan pilihan raya dalam keadaan pandemik yang masih belum reda, apatah lagi terdapat dua pilihan raya negeri dan tiga pilihan raya kecil yang masih tertangguh.


“Selain itu, sistem dan isu pilihan raya amat penting untuk sistem politik negara dan banyak isu pembaharuan perlu dibincangkan dan diambil tindakan.


“Sekiranya ia ditubuhkan sebagai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) sahaja, ia mudah dibubarkan dan dihilangkan, seperti yang berlaku kepada JPKP Hal Ehwal Pilihan Raya yang ditubuhkan oleh Dewan Rakyat pada 2019 di bawah pimpinan mantan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Mohd Ariff Yusof setelah berlakunya Langkah Sheraton,” kata kenyataan itu hari ini.


Menurut Bersih 2.0, mereka juga mahu supaya jawatankuasa tetap tersebut dipengerusikan oleh wakil rakyat daripada pihak pembangkang seperti yang dicadangkan pada 2019.


“Jawatankuasa itu juga haruslah dianggotai oleh wakil rakyat yang komited kepada pilihan raya yang bersih dan adil serta memiliki kepakaran pengurusan pilihan raya,” katanya.


Antara Mandat Jawatankuasa Tetap Pilihan Raya tersebut adalah merangkumi;

1. Menubuhkan satu Jawatankuasa Pencalonan yang bebas untuk menamakan calon-calon kepada Perdana Menteri untuk dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong bagi mengisi kekosongan jawatan Ahli-Ahli Pesuruhjaya SPR.


2. Menerima, menyemak dan membahaskan laporan tahunan daripada SPR termasuklah laporan khusus selepas Pilihan Raya Umum mahupun Pilihan Raya Kecil, sebelum laporan tersebut dibentang di Dewan Rakyat dengan ulasan JPKP.


3. Menerima, meneliti dan memeriksa laporan kewangan dan perbelanjaan SPR termasuklah selepas Pilihan Raya Umum mahupun Pilihan Raya Kecil.


4. Melaksanakan siasatan berkaitan sebarang isu berkenaan pilihan raya apabila perlu dengan kuasa untuk mensapina saksi-saksi bagi memberikan keterangan dan bukti-bukti bagi isu yang dibangkitkan. Siasatan ini juga perlu dilakukan secara terbuka kepada orang umum dan disiarkan secara langsung di televisyen ataupun di laman web parlimen sebagaimana siaran perbahasan parlimen.


5. Menyemak sebarang undang-undang dan pindaan undang-undang berkenaan pilihan raya sebelum dibentangkan dan dibahaskan di dalam parlimen melalui proses libat urus semua pemegang taruh, terutamanya parti-parti politik, pengundi dan masyarakat madani.


6. Memanggil SPR untuk menjawab soalan di Parlimen berkenaan pentadbiran SPR dan pengurusan proses-proses pilihan raya berbanding soalan tersebut dijawab oleh Menteri bagi memastikan SPR bebas daripada Eksekutif.


7. Memberi cadangan-cadangan bagi reformasi sistem, amalan dan undang-undang pilihan raya.


8. Memanggil pakar-pakar daripada dalam dan luar negara bagi mendapatkan pandangan ketiga terhadap sesuatu isu berkaitan sistem, pelaksanaan dan undang-undang pilihan raya


Jelas Bersih 2.0 lagi, kerajaan juga perlu memberikan penjelasan lebih terperinci tentang terma sembilan JPKP bagi memaklumkan kepada orang ramai tentang kementerian yang akan dikawal selia oleh JPKP.


Sebelum ini, kerajaan telah membuat rombakan kepada JPKP dengan menambah jumlah ahli kepada sembilan orang dengan nisbah antara wakil rakyat parti kerajaan dan parti pembangkang ialah 5:4.


Sembilan JPKP yang ditubuhkan itu melibatkan Kebebasan Asasi dan Hak Perlembagaan, Kewangan dan Ekonomi, Keselamatan, Agensi-Agensi Di Bawah Jabatan Perdana Menteri, Pertanian Dan Perdagangan Dalam Negeri, Pembangunan Infrastruktur, Pendidikan, Hal Ehwal Wanita dan Kanak-Kanak Dan Pembangunan Sosial dan, Kesihatan, Sains Dan Inovasi.

bottom of page