Bom Ikan, Dua Warga Asing Ditahan
- nabalunews
- Mar 28
- 1 min read

28 Mac 2025
SEMPORNA: Dua lelaki warga asing ditahan selepas didapati memiliki peralatan aktiviti bom ikan dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Hidayat, di sini, semalam.
Dalam serbuan jam 8.30 malam itu, beberapa peralatan termasuk 36 liter baja putih turut berjaya dirampas.
Ketua Polis Daerah Semporna Superintenden Mohd Sabri Zainol berkata, serbuan dilaksanakan sepasukan pegawai dan anggota polis Balai Bum Bum.

Katanya, kedua-dua lelaki berusia 17 dan 48 tahun itu ditahan selepas gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
“Hasil serbuan turut berjaya merampas peralatan membuat bom ikan termasuk tujuh unit non-electrical datenator, dua gulung fius berwarna merah.
“Turut berjaya dirampas, dua tong putih 18 liter disyaki berisi baja putih dan tiga botol kaca berisi baja putih yang sudah siap diproses,” katanya.
Mohd Sabri berkata, tangkapan dan rampasan terus dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara selama tujuh tahun atau denda sebanyak RM10,000 atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.
“Pihak polis mengucapkan terima kasih dengan maklumat yang disalurkan oleh orang awan dan sesiapa yang mempunyai sebarang maklumat berhubung dengan kegiatan pengeboman ikan salurkan segera ke balai polis berhampiran.
“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dan akan mengambil tindakan tegas bagi membanteras kegiatan bom ikan yang boleh membahayakan nyawa, merosakkan ekosistem serta mengancam keselamatan negara,” katanya.
Comments