BUDI95: JPJ rekod peningkatan signifikan transaksi perbaharui lesen memandu
- nabalunews
- 4 hours ago
- 1 min read

27 September 2025
KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) merekodkan peningkatan mendadak jumlah transaksi pembaharuan lesen memandu di seluruh negara susulan pengumuman pelaksanaan Subsidi Bersasar Petrol Budi Madani RON95 (BUDI95) oleh kerajaan pada 22 September lalu.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, sebanyak 23,125 transaksi pembaharuan Lesen Memandu Kompeten (CDL) direkodkan pada 23 September, sebelum meningkat 0.15 peratus kepada 23,160 transaksi sehari selepas itu.
“Jumlah itu kemudian melonjak signifikan sebanyak 45.6 peratus kepada 33,714 transaksi pada 25 September, menerusi saluran sedia ada JPJ serta rakan strategik seperti Pos Malaysia dan MyEG,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Aedy Fadly berkata, negeri yang bercuti hujung minggu pada Jumaat iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu telah merekodkan jumlah pembaharuan lesen memandu yang tinggi pada 26 Sept berbanding negeri lain.
Peningkatan tersebut, katanya menunjukkan bahawa inisiatif pembukaan kaunter pada hari cuti memberi impak positif dan dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat.
“Trend ini membuktikan semakin ramai pemegang lesen memandu mengambil langkah proaktif memperbaharui lesen bagi menikmati manfaat BUDI95, selain mencerminkan kesedaran terhadap kewajipan memiliki lesen sah seperti termaktub dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333),” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata JPJ komited memastikan keberkesanan operasi di seluruh negara dengan memantau keperluan lapangan secara berterusan bagi mengekalkan tahap kecekapan optimum.
“Langkah ini turut diperkukuh melalui kerjasama strategik bersama agensi berkaitan khususnya Kementerian Kewangan bagi memastikan proses pembaharuan lesen memandu dan pelaksanaan subsidi BUDI95 berjalan lancar tanpa gangguan di seluruh negara,” katanya.