BUDI95: Penggunaan MyKad terbukti berkesan, diterima baik
- nabalunews
- 51 minutes ago
- 1 min read

12 Februari 2026
KUALA LUMPUR: Penggunaan MyKad sebagai mekanisme pengesahan kelayakan menerusi program Budi Madani RON95 (BUDI95) terbukti berkesan bagi memastikan subsidi disalurkan tepat kepada golongan sasar.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata setakat semalam, lebih 14.6 juta rakyat menikmati harga petrol RON95 bersubsidi di bawah BUDI95.
Menurutnya, sistem BUDI95 mampu memproses secara purata 3.1 juta transaksi sehari tanpa gangguan sekaligus menunjukkan kaedah itu diterima baik oleh rakyat.
“Tahap penggunaan yang tinggi menunjukkan mekanisme MyKad mudah diakses, stabil dan diterima baik oleh rakyat.
“Penggunaan MyKad sebagai mekanisme pengesahan kelayakan dalam penyasaran subsidi telah terbukti berkesan dan praktikal,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) yang meminta penjelasan mengenai kejayaan pelaksanaan reformasi fiskal seperti BUDI95 serta rancangan kerajaan untuk mereplikasi mekanisme penyelarasan subsidi itu ke barangan lain seperti minyak masak dan gula.
Amir Hamzah berkata, keberkesanan pendekatan berasaskan MyKad itu turut disokong oleh pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) 2025 yang merekodkan kadar penggunaan 99 peratus melalui MyKad.
“Ia membuktikan pendekatan ini berfungsi dengan baik dan mesra pengguna tanpa memerlukan pembangunan sistem baharu kerana rakyat hanya menggunakan kad pengenalan sedia ada.
"Pada masa sama, pengesahan berasaskan identiti warganegara membantu mengurangkan ketirisan kepada bukan warganegara," ujarnya.
Melangkah ke hadapan, beliau berkata kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang mengkaji penggunaan MyKad untuk Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS).
Jelasnya, penelitian lanjut sedang dilaksanakan untuk meluaskan penggunaan ekosistem sedia ada berasaskan MyKad, termasuk integrasi dengan sistem SARA bagi memperkukuh pengesahan identiti dalam pemantauan penjualan minyak masak bersubsidi.














