BUDI95: Semua rakyat layak terima subsidi RON95 hingga 300 liter sebulan
- nabalunews
- Sep 22
- 2 min read

22 September 2025
PUTRAJAYA: Semua rakyat Malaysia layak menerima siling kelayakan bulanan subsidi bersasar petrol RON95 sehingga 300 liter sebulan menerusi program Budi Madani RON95 (BUDI95) yang berkuat kuasa 30 September ini.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pemandu e-hailing diberi pengecualian daripada siling kelayakan itu dan boleh memohon kelayakan tambahan bagi memastikan kelangsungan pekerjaan mereka.
Menurut MOF, penetapan siling kelayakan bulanan itu berdasarkan dapatan kajian Jabatan Perangkaan yang mendapati lebih 99 peratus pemandu kenderaan persendirian di Malaysia tidak melepasi jumlah berkenaan.
“Kerajaan telah mengambil langkah bagi memudahcarakan proses untuk rakyat memanfaatkan harga bersubsidi RON95, antaranya tiada pendaftaran diperlukan untuk subsidi berkenaan.
"Hanya satu langkah tambahan, iaitu pengesahan dengan MyKad untuk urusan membeli RON95 pada harga bersubsidi. Selain itu, terminal pembaca MyKad disediakan di dalam kedai stesen minyak dan juga di terminal pam minyak bagi mengurangkan risiko kesesakan," menurut kenyataan itu.
Selain itu, terdapat pilihan digital e-dompet TNG dan aplikasi syarikat minyak seperti Setel oleh Petronas dan CaltexGo.
MOF menjelaskan pelaksanaan program BUDI95 akan dijalankan secara berperingkat untuk memastikan kelancaran sistem tanpa lonjakan penggunaan yang mendadak.
“Sistem BUDI95 dibuka awal kepada 300,000 anggota tentera dan polis pada 27 September manakala penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang merupakan golongan B40 pada 28 September.
"Pada 30 September, sistem BUDI95 dibuka kepada 16 juta warganegara Malaysia berumur 16 tahun dan ke atas yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif," menurut MOF.
Justeru, kerajaan menasihatkan rakyat supaya memastikan cip MyKad berfungsi dan lesen memandu masih sah sebelum peralihan kepada BUDI95.
Menurut MOF, rakyat tidak perlu tergesa-gesa membaharui MyKad sekiranya berjaya menebus bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) atau Penghargaan SARA, kerana ia membuktikan cip MyKad berfungsi.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan harga petrol RON 95 diturunkan kepada RM1.99 seliter berbanding RM2.05 seliter, berkuat kuasa pada 30 September ini menerusi penyasaran subsidi di bawah inisiatif BUDI95.
“Penjimatan daripada peralihan kepada BUDI95 ini akan diagihkan semula untuk manfaat rakyat seperti melalui bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA,” katanya dalam kenyataan yang sama.
Namun, beliau berkata tumpuan kerajaan kekal kepada menambah baik perkhidmatan kesihatan, pendidikan serta prasarana asas negara.


















Comments