Bung Moktar Perlekeh Hak Mutlak Sabah Tuntut 40 Peratus Hasil: Norazlinah
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Bung Moktar Perlekeh Hak Mutlak Sabah Tuntut 40 Peratus Hasil: Norazlinah


7 Julai 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KUNAK: Kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin bahawa negara berisiko muflis jika 40 peratus hasil dikembalikan kepada Sabah seolah-olah memperlekeh hak mutlak negeri Sabah.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak, Norazlinah Arif berkata, tidak masuk akal seorang pemimpin daripada Sabah berkata sedemikian sedangkan beliau sendiri tahu Sabah sering dinobatkan sebagai negeri miskin di Malaysia.


Tindakan mengembalikan 40 peratus hasil kepada Sabah tidak akan memberi kesan besar kepada kedudukan kewangan persekutuan.


Katanya, formula yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan mengenai 40 peratus hasil itu merujuk kepada hasil yang dikutip daripada Sabah sahaja dan bukannya daripada hasil kutipan seluruh Malaysia.


Beliau menyifatkan kenyataan Bung Moktar sebelum ini turut memberi gambaran bahawa beliau tidak cakna mengenai MA63 dan jauh sekali daripada memahami kepentingan perjanjian itu sehingga beliau sanggup mencadangkan sebuah lagi perjanjian baharu.


Ahli Majlis Tertinggi Parti Warisan (Warisan) itu berkata, kenyataan Timbalan Ketua Menteri itu dilihat cuba mengelirukan seluruh rakyat Malaysia khususnya rakyat Sabah.


“Adalah lebih baik untuk Bung memberi fokus kepada perkara yang telah dipersetujui bersama oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri di Borneo sekiranya dia mempunyai niat untuk berusaha memperbaiki perlanggaran-perlanggaran MA63.


Menurut beliau, semasa pemerintahan Warisan Plus, 17 daripada 21 Perkara dalam MA63 telah dipersetujui dan beberapa perkara telah dilaksanakan.


Namun, masih ada beberapa perkara lagi belum dilaksanakan oleh kerajaan Persekutuan dan empat perkara lagi belum dirunding dan diputuskan.


Norazlinah berkata, Bung Moktar atau mana-mana Ahli Parlimen lain tidak perlu takut untuk masuk lokap apabila bersuara dan menuntut hak Sabah yang termaktub dalam MA63 dan Perlembagaan Persekutuan.


Tambahnya, rakyat Sabah perlu mengambil tahu sejarah pembentukan Malaysia sebelum dan selepas termeterainya MA63 secara lebih mendalam agar tidak mudah dimanipulasi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Tags:

bottom of page