Cadangan BDR sektor awam diputuskan Selasa depan
- nabalunews
- 20 minutes ago
- 1 min read

13 Mac 2026
PUTRAJAYA: Kerajaan akan memutuskan cadangan pelaksanaan bekerja dari rumah (BDR) bagi sektor awam dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Selasa minggu depan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sudah mengarahkan Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) meneliti cadangan itu terlebih dahulu sebelum ia dibawa untuk pertimbangan Kabinet.
"Beberapa ikhtiar sedang diteliti. Perdana Menteri sudah meminta supaya Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam meneliti cadangan bekerja dari rumah atau 'work from home' untuk memastikan beberapa perkara terselaras.
"Ini untuk sektor awam dan hasil daripada perbincangan itu akan dibincang dan diputuskan dalam mesyuarat, Insya-Allah pada Selasa depan," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Kabinet Kabinet Khas mengenai impak konflik di Asia Barat, di Putrajaya hari ini.
Sidang media itu turut dihadiri Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Semalam, KPPA Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dilaporkan berkata pelaksanaan pengaturan kerja fleksibel termasuk BDR dilihat sebagai antara langkah penting memastikan kesinambungan operasi kerajaan dalam menghadapi konflik geopolitik, bencana atau krisis kesihatan awam.
Beberapa negara ASEAN termasuk Thailand, Vietnam dan Filipina telah mengumumkan langkah berjaga-jaga antaranya BDR bagi mengurangkan penggunaan tenaga selain menggalakkan penggunaan kenderaan elektrik dan hibrid susulan konflik di Asia Barat.











