Cadangan Pengarah KPDNHEP Melaka, kurangkan makan telur dikecam hebat warga maya
top of page
  • Nur Syafiqah Abdullah

Cadangan Pengarah KPDNHEP Melaka, kurangkan makan telur dikecam hebat warga maya


5 Julai 2022

Oleh Nur Syafiqah Abdullah


KUALA LUMPUR: Kenaikan harga barangan terutama barangan yang dahulunya disubsidi kerajaan seperti telur, ayam dan minyak masak membuatkan ramai rakyat Malaysia mengeluh dan resah.


Seperti yang diumumkan kerajaan baru-baru ini, bermula 1 Julai, harga beberapa barangan keperluan mencatatkan sedikit peningkatan dengan kerajaan menetapkan harga siling baharu untuk barang mentah seperti ayam dan telur ayam.


Bermula 1 Julai, harga baharu siling ayam berkuat kuasa hari ini untuk tempoh dua bulan ialah Langkawi (RM9.90 sekilogram, Sabah (RM11 hingga RM11.30), Sarawak (RM9.80 hingga RM12.90) dan RM11.30 di Labuan.


Manakala bagi semenanjung, harga yang ditetapkan adalah RM9.40 sekilogram, naik 50sen daripada RM8.90.


Bagi telur ayam pula, harga gred A ditetapkan pada 47 sen sebiji di Sarawak kecuali Limbang dan Lawas pada 49 sen sebiji, gred B (45 sen hingga 48 sen sebiji), gred C (43 sen hingga 46 sen sebiji); di Sabah harga bagi gred A sebanyak 50 sen hingga 51 sen sebiji, gred B (49 sen hingga 50 sen sebiji) dan gred C (48 sen hingga 49 sen sebiji). Di Labuan pula, harga telur gred A ditetapkan pada 51 sen sebiji, gred B (50 sen sebiji) dan gred C (49 sen sebiji).


Namun, satu video yang tular di sosial media di mana Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka, Norena Jaafar yang mencadangkan agar orang ramai mengurangkan pengambilan telur berikutan harga baharu itu menimbulkan kemarahan dan kecaman ramai netizen.


“Kita sebagai pengguna kalau dah tahu kenaikan harga telur tu tinggi, kalau boleh kita kurangkan sikit makan telur. Kalau satu minggu kita makan lebih kurang 20 biji, kita kurangkan jadi 10 atau 15 biji. Tak ada masalah. Itu adalah cara gaya hidup kita,” kata pengarah tersebut dalam satu video yang dimuat naik di saluran YouTube Melaka TV.


Rata-rata para netizen meluahkan rasa marah dan kecewa kerana kenyataan tersebut yang disifatkan tidak menyelesaikan masalah rakyat.


“Ini adalah statement yang selalu bermain di fikiran orang atasan. Kalau macam itu kita pun tahu. Rakya sekarang mahu satu mekanisma atau jalan penyelesaian diatas kenaikan harga barang yang melampau, bukan mengeluarkan statement yang ‘gila’,” kata seorang netizen.


Sementara itu ada juga yang berpendapat bagi menangani kenaikan harga barang di negara ini, gaji para menteri perlu dikurangkan.


“Kalau satu bulan gaji mereka ada beratus ribu, kita kurangkan gaji mereka 10 peratus atau 15 peratus. Tidak ada masalah, itu adalah cara yang terbaik untuk hidup rakyat!” kata seorang lagi pengguna media sosial.


Selain itu ada juga netizen yang menyatakan bahawa kenyataan seperti itu tidak sepatutnya keluar dari seorang yang berstatus pengarah negeri.


“Ini bukan penyelesaian bagi rakyat. Entah macam mana dia boleh memberi pendapat dan nasihat yang tidak masuk akal dalam media. Ciri-ciri orang beginilah yang tidak akan membawa apa-apa kebaikan kepada rakyat,” demikian antara kata-kata yang diluahkan para netizen.

bottom of page