Calon PH di Melaka diingat tidak sombong dekati pengundiCalon PH di Melaka diingat tidak sombong dekati pengundi
top of page
  • Nur Syafiqah Abdullah

Calon PH di Melaka diingat tidak sombong dekati pengundi


14 November 2021

Oleh Nur Syafiqah Abdullah


KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua calon Pakatan Harapan (PH) yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka supaya tidak bersikap sombong dan agresif .


Beliau berkata, ini kerana keikhlasan, kesabaran dan sikap rendah hati diyakini dapat menarik minat pengundi memilih mereka.


“Kalau jumpa calon lain yang kasar dan agresif, kita tidak semestinya memilih cara begitu. Seorang calon mestilah sabar dan berkempen secara berhemah jangan ada sikap angkuh iaitu kita lebih tahu semuanya daripada pengundi.


“Mungkin dia (pengundi) tidak pandai menceritakan sesuatu isu seperti Pandora tetapi dia tahu apa yang salah dan benar. Mereka bijak menilai pemimpin yang bersih dan rasuah.


“Kadang-kadang dia (pengundi) ingat orang politik ini sama sahaja, jadi calon perlu kerja keras untuk memberikan penjelasan kepada pengundi,” katanya.


Beliau berkata demikian semasa Tamu Anwar: Calon Muda Harapan yang disiarkan secara langsung melalui Facebook hari ini.


Sehubungan itu Anwar mengingatkan semua calon PH supaya sentiasa sabar dan berjiwa rakyat apabila menyantuni rakyat.


“Tidak semestinya anda calon muda atau tua tapi kalau ada nilai kemanusiaan dan dapat menyantuni rakyat dengan sikap yang baik, rakyat pasti menilai kita,” katanya.


Anwar berkata, senario dan kaedah berkempen kali ini amat berbeza berbanding pilihan raya lalu namun pengundi harus diberikan maklumat jelas mengenai isu-isu yang mereka bangkitkan.


“Apa yang kita tekankan ialah, kita perlu berikan pencerahan kepada rakyat, pemilih dan pengundi bahawa kita ada rekod yang baik selama 22 bulan memerintah.


“Ia memang tidak sempurna kerana singkat waktunyua dan kerajaan persekutuan pun tidak memberikan dokongan penuh tetapi rekod membanggakan ialah tidak ada unsur penyalahgunaan kuasa, rasuah, curi pasir dan kontrak… dalam negara kita, ini masalah terbesar,” katanya.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page