• nabalunews

COVID-19: DUOPHARMA BIOTECH BEKAL 6.4 JUTA DOS VAKSIN SPUTNIK V



26 Jan 2021

KUALA LUMPUR: Duopharma (M) Sendirian Bhd (DMSB), subsidiari milik penuh Duopharma Biotech Berhad akan memperoleh dan membekalkan 6.4 juta dos vaksin COVID-19 yang dibangunkan oleh Rusia, "Sputnik V" di Malaysia.


Duopharma Biotech dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata DMSB telah menandatangani Perjanjian Lembaran Bertempoh dengan Dana Pelaburan Langsung Rusia (RDIF) untuk mendapatkan dos yang dibangunkan oleh Institut Penyelidikan Epidemiologi dan Mikrobiologi Kebangsaan Gamaleya.


"RDIF adalah ejen pemasaran yang dilantik untuk Gamaleya bagi semua pasaran antarabangsa, dan bekalan Sputnik V boleh datang daripada mana-mana rakan kongsi RDIF, tertakluk kepada kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA)," katanya.



DMSB juga telah memeterai Perjanjian Lembaran Bertempoh dengan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk membekalkan kesemua 6.4 juta dos bagi tujuan vaksinasi kepada 3.2 juta rakyat Malaysia secara berperingkat dalam tempoh 2021.


"Bekalan juga tertakluk kepada vaksin Sputnik V yang diluluskan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah Malaysia melalui penilaian teknikal oleh NPRA," tambahnya.


Melangkah ke hadapan, Pengarah Urusan Kumpulan Duopharma Biotech, Leonard Ariff Abdul Shatar berkata syarikat itu mempunyai kilang pengisian dan penyiapan vaksin di Klang yang sedia untuk digunakan.


"Kami juga sedang menaik taraf kemudahan kami untuk memastikan barisan tersebut mampu menampung penyetempatan pembuatan vaksin di Malaysia, yang seterusnya dapat meningkatkan akses vaksin, mengurangkan kebergantungan kepada pengimportan dan memastikan kecukupan vaksin bagi jangka panjang di Malaysia," katanya.


Duopharma Biotech, RDIF dan Institut Gamaleya juga sedang meneroka kerjasama selanjutnya untuk meningkatkan keupayaan Duopharma Biotech dalam penyelidikan dan pembangunan, pemindahan teknologi, pembuatan tempatan termasuk pembekalan vaksin di Malaysia dan negara-negara ASEAN yang lain.


Sputnik V adalah vaksin berdaftar pertama di dunia berdasarkan platform berasaskan vektor “adenoviral” manusia yang dikaji secara mendalam yang mampu meningkatkan tindak balas imun dan memberikan imuniti yang berpanjangan dengan keberkesanan 92 peratus.- Bernama

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com